BAGAIKAN trend, ibu bapa hari ini khususnya generasi muda kian terbuka untuk memberi galakan anak menceburi bidang sukan sebagai karier.
Tidak lagi hanya tertumpu kepada golongan lelaki, kanak-kanak perempuan juga semakin didedahkan kepada aktiviti sukan dalam pelbagai cabang yang ekstrem dan lasak.
Perkara itu bukan sahaja membantu membentuk keyakinan dan kekuatan anak-anak, malah membuktikan bahawa bakat tidak pernah terhad kepada jantina seseorang.
BACA LAGI: Banjir di Shah Alam, ibu sewa hotel, jalan kaki demi pastikan anak tak terlewat Ujian Bertulis SPM
BACA LAGI: Mekap, gaya ala TokTi, murid darjah 1 johan pertandingan 'Tiru Tokoh' mirip Biduanita Negara
Seorang kanak-kanak dari New York, Amerika Syarikat (AS), Honor Dayagao, 10, kini mencetuskan sensasi dalam arena sukan sedunia apabila bergelar atlet gusti muda paling menonjol di negara barat.
Segalanya bermula ketika Honor berusia tujuh tahun bila mana dia membawa pulang risalah dari sekolahnya yang menawarkan pelbagai aktiviti kokurikulum.
Tanpa teragak-agak, Honor memilih sukan gusti dan keputusannya nyata mengundang kejutan ramai terutamanya ibunya, Brittany.
"Saya macam, apa? Kami langsung tak sangka ini minat dia, terutamanya pada usia sebegitu," katanya.
Pun begitu, atas semangat dan keinginan tinggi dipamerkan, Brittany akhirnya membenarkan anaknya menyertai program gusti rekreasi walaupun dia merupakan satu-satunya peserta perempuan dalam pasukan.
Biarpun hampir kesemua lawannya adalah golongan lelaki, Honor sama sekali tidak gentar, malah dia mula mengajak rakan-rakan perempuan lain menyertai latihan, termasuk kakaknya sendiri.
Perkembangan itu sekali gus mencetuskan fenomena dan peningkatan jumlah peserta perempuan dalam pertandingan gusti peringkat negeri.
"Tahun ini, semasa kejohanan Amerika, ada 15 gadis dalam pasukan, tahun lepas cuma enam," kata Honor.
Honor dan keluarganya merupakan sebahagian daripada komuniti Tonawanda Seneca Nation, kumpulan Orang Asli Amerika di New York Barat.
Walaupun gusti adalah sukan yang mencabar fizikal dan mental, Honor tidak pernah berputus asa apatah lagi berhenti menjalani latihan setiap minggu.
"Kalau perlawanan susah, saya akan tanya kalau dia nak rehat atau berhenti, tapi dia selalu kata, oh tidak, saya nak teruskan," ujar ibunya.
Kini, sukan gusti menjadi aktiviti masa senggang seluruh ahli keluarganya dengan adik-beradiknya Scarlet, 8; Callie, 6; Forrest, 4; dan Archer, 1 turut terbiasa dengan suasana gusti di rumah.
"Setiap hari macam ada pertandingan gusti dalam ruang tamu, kami siap beli tikar gusti baru, jadi kuranglah risau," tambahnya.
Perjalanan Honor berubah secara drastik tahun ini apabila dia dilantik sebagai duta Dove Body, menjadikannya individu termuda menghiasi muka depan kempen Sports Illustrated 2025 Women’s Issue.
Edisi itu mengetengahkan 10 atlet muda wanita yang mencipta fenomena dalam dunia sukan.
Honor menyimpan impian besar mewakili AS di Sukan Olimpik suatu hari nanti dan dia juga dilaporkan mahu menjadi inspirasi kepada gadis-gadis muda serta komuniti Orang Asli Amerika.
"Saya berharap dia mampu membuktikan kepada dunia bahawa atlet dan orang Asli juga berada di pentas terbesar sukan,” katanya.
Sejak kemunculan dalam majalah itu, Honor terus meraih perhatian nasional dengan memenangi beberapa kejohanan penting, menerima anugerah dan muncul di televisyen.
amun, antara pengalaman paling menyeronokkan baginya ialah menghadiri rivalry match Gotham FC pada Julai lalu.
Honor terlibat dalam upacara menyalakan obor bersama Kylie Kelce, Ciara dan CEO National Women’s Football Conference, Odessa Jenkins.
Perjalanan Honor Dayagao mungkin baru bermula, tetapi dengan semangatnya yang luar biasa serta sokongan keluarga yang kukuh, tidak mustahil impiannya ke Olimpik menjadi kenyataan suatu hari nanti. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
