KECUAIAN penjagaan anak di tempat awam bukanlah perkara baharu, namun ia terus menimbulkan kebimbangan apabila segelintir ibu bapa masih mengambil mudah isu keselamatan anak kecil.
Terbaharu, tular satu kejadian di sebuah taman permainan tertutup pusat beli-belah apabila dua kanak-kanak didakwa dibiarkan bermain lebih dua jam tanpa pengawasan ibu bapanya.
Insiden tersebut dikongsikan oleh seorang individu menerusi akaun Thomaschen8800 di Instagram, yang mendakwa kedua-dua kanak-kanak itu bukan sahaja dibiarkan sendirian, malah ibu bapa mereka difahamkan keluar untuk makan dan meminta staf kaunter mengawasi anak-anak mereka.
BACA LAGI: Banjir di Shah Alam, ibu sewa hotel, jalan kaki demi pastikan anak tak terlewat Ujian Bertulis SPM
BACA LAGI: Mekap, gaya ala TokTi, murid darjah 1 johan pertandingan 'Tiru Tokoh' mirip Biduanita Negara
Menurutnya, kanak-kanak berkenaan dikatakan beberapa kali cuba keluar daripada kawasan permainan berkenaan kerana terlampau lapar dan nyaris hilang.
Dia yang kebetulan berada berdekatan bertindak menahan mereka berulang kali kerana bimbang risiko keselamatan.
Situasi kian meruncing bila mana kedua ibu bapa kanak-kanak terbabit akhirnya tiba untuk menjemput anaknya pulang.
"Mak dan ayah woi, anak kamu tu tak nak ke? Anak hilang menangis nanti.
"Lagi boleh cakap sekejap sahaja, tinggalkan anak lebih dua ke tiga jam sampai staf pun cakap dekat aku, ni orang tak ada otak!
"Anak menangis lapar, minta orang lain sebab kamu tak ada, anak kecil hampir keluar beberapa kali sebab lapar nak cari mak ayah, aku halang banyak kali nanti orang culik anak, hilang baru nak menangis kan?” katanya.
Dalam pada itu, usai video tersebut tular di laman sosial, muncul pula dakwaan mengatakan bapa kepada dua kanak-kanak itu sebenarya sedang berdua-duaan dengan kekasih hatinya.
Hal itu didedahkan oleh seorang individu dipercayai isteri kepada lelaki berkenaan yang tampil menjelaskan bahawa suaminya curang dengan wanita lain.

Mesej tular di laman sosial dipercayai dari isteri lelaki berkenaan.
Ia sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa insiden tersebut berpunca akibat isu rumah tangga yang akhirnya membawa kepada pendedahan si isteri yang tersakiti.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan rasmi daripada mana-mana pihak mengenai dakwaan tersebut dan difahamkan tiada laporan polis dibuat setakat ini.
Kejadian itu sekali lagi mengingatkan ibu bapa tentang pentingnya pengawasan rapat terhadap anak kecil, khususnya di kawasan awam yang terdedah kepada risiko keselamatan.
Anak bukan sahaja mudah tersesat, malah berpotensi menjadi mangsa jenayah jika dibiarkan tanpa pemantauan rapi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
