Banjir di Shah Alam, ibu sewa hotel, jalan kaki demi pastikan anak tak terlewat Ujian Bertulis SPM


  • Bonda
  • Selasa, 25 Nov 2025

Rose Zainol sanggup menginap hotel dan berjalan kaki demi memudahkan urusan anaknya menduduki Ujian Bertulis SPM.

SETIAP ibu bapa sentiasa mahukan yang terbaik buat masa depan anak-anak terutamanya dari segi pencapaian akademik dan kerjaya.

Bermula di peringkat sekolah, ujian pentaksiran dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) misalnya menjadi titik permulaan penting bagi menentukan bidang pengajian dipilih di peringkat universiti kelak.

Merupakan tulang belakang serta pendorong utama dalam hal itu, peranan ibu bapa amat ditagih bagi memastikan mereka sentiasa diberikan perhatian dan keyakinan untuk menduduki peperiksaan tersebut.

BACA LAGI: Mekap, gaya ala TokTi, murid darjah 1 johan pertandingan 'Tiru Tokoh' mirip Biduanita Negara

BACA LAGI: 'Dia jadi lebih berani, kurang tantrum', bapa kongsi kelebihan hiking bersama 2 anak sejak bayi

Sanggup berkorban apa sahaja demi masa depan anak, peranan itu dipamerkan oleh seorang ibu dekat Shah Alam, Selangor ini yang sanggup membawa keluarganya menginap di sebuah hotel bajet sebelum peperiksaan Ujian Bertulis bermula pada Selasa.

Ia rentetan bencana banjir yang berlaku di Shah Alam baru-baru ini yang mengundang risiko kesesakan lalu lintas serta penutupan beberapa laluan lebuh raya.

Bimbang akan kesuntukan masa dan mengganggu fokus anaknya, @rosezainol_official membuat keputusan untuk menginap sementara hotel di kawasan berhampiran sekolah anaknya dekat Subang Jaya, Selangor.

 

Harapan ibu

Tindakan itu menurutnya bertujuan memastikan anaknya tenang menjawab kertas ujian tanpa gangguan dan tibat tepat pada masanya di dewan peperiksaan.

"Area Shah Alam dah start banjir kelmarin dan aku tahu pagi ni confirm jalan sesak teruk.

"Hari penting untuk Abang Hail Irfan, 1st day SPM bertulis, selama ni perjalanan nak ke sekolah 45 minit sampai sejam tapi hari ni 10 minit je jalan kaki, asal anak tenang, mak ayah sanggup buat apa saja kan," katanya.

Beliau juga memohon doa daripada orang ramai agar anak-anak seluruh Malaysia, khususnya calon SPM tahun ini berjaya dalam peperiksaan diduduki.

Banjir di Shah Alam

Dalam pada itu, laporan media tempatan mengesahkan bahawa hujan berterusan sejak Ahad telah menyebabkan beberapa kawasan sekitar Shah Alam dinaiki air.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi kenyataan turut mengumumkan penutupan beberapa jalan utama demi keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya.

Antara laluan yang terjejas ialah:

- Jalan Seksyen 19

- Seksyen 24 menghala ke Seksyen 23

- Persiaran Jubli Perak

- Persiaran Perusahaan

Kawasan perumahan seperti Taman Desa Kemuning (Seksyen 35), Kampung Budiman (Seksyen U14), Taman Seri Muda dan Padang Jawa (Seksyen 16) juga dilaporkan berdepan banjir.

MBSA dalam masa sama melaporkan bahawa pasukan kecemasan PANTAS telah dikerahkan untuk memantau kawasan-kawasan berisiko seperti Sungai Damansara di Seksyen 13. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram