SETIAP pasangan suami isteri mengimpikan sebuah rumah tangga yang bahagia, sempurna dan berkekalan hingga ke akhir hayat.
Namun, kadangkala kehidupan berkeluarga tidak berjalan seperti yang dirancang apabila segelintir individu diuji dari segi kesihatan serta kewangan yang menuntut kesabaran luar biasa daripada kedua-dua pihak.
Situasi itu boleh digambarkan menerusi kisah tular pasangan ini yang diuji dengan masalah kesihatan apabila si suami difahamkan mengalami masalah tulang belakang (spondylosis) yang mengakibatkan dirinya tidak mampu lagi berjalan seperti biasa.
BACA LAGI: Mekap, gaya ala TokTi, murid darjah 1 johan pertandingan 'Tiru Tokoh' mirip Biduanita Negara
BACA LAGI: 'Dia jadi lebih berani, kurang tantrum', bapa kongsi kelebihan hiking bersama 2 anak sejak bayi
Tabah dengan dugaan menimpa, isterinya cekal menjalankan perniagaan kecil-kecilan yang menurutnya bukan sekadar punca rezeki, tetapi menjadi bukti cinta terhadap suaminya yang kini bergelar Orang Kurang Upaya (OKU).
Katanya, kehidupannya berubah sepenuhnya sejak suaminya mula jatuh sakit sekitar tiga tahun lalu sehingga hilang upaya untuk bekerja seperti sebelumnya.
"Saya dah cari income sendiri ni, tiga tahun dah sejak suami saya tak sihat, saya buka ni lah jual oden dan air, suami saya ada masalah dalam pergerakan, dia hilang upaya anggota," ujarnya.
Jelasnya lagi, saat suaminya rebah sebagai pencari nafkah utama keluarga, tempoh itu menjadi antara momen paling mencabar dalam rumah tangga mereka.
Dia terpaksa menguruskan anak-anak, mengendalikan rumah dan dalam masa sama membawa suaminya berulang-alik ke hospital menjalani pemeriksaan secara berkala.
"Bila yang selama ni cari rezeki tiba-tiba dah tak boleh cari income, dia akan sentiasa rasa down, saya sebagai isteri, susah pun sama-sama, saya cuma nak dia sihat sahaja.
"Kekuatan saya, dia dan anak-anak, dia selalu ada masa susah senang saya, anak-anak pun sangat membantu walaupun umur baru 10 dan 9 tahun, bila saya minta tolong, dia orang tahu nak buat, mereka faham bila tengok mak ayah susah," katanya.
Lebih mengharukan, meskipun membantu ibunya di kedai, kedua-dua anaknya tetap menunjukkan prestasi baik di sekolah dan bijak membahagikan masa untuk fokus dalam pelajaran.
Dalam pada itu, suaminya, Muhammad Aidiel menerusi hantaran di Threads berkongsi luahan hati yang menyentuh perasaan warganet.
Akui dirinya berasa sedih atas apa yang berlaku, dia walau bagaimanapun dengan rendah diri menitip rasa syukur atas ketabahan isteri dan anak-anaknya.
"Maafkan aku Ya ALLAH, banyak dosaku dengan-Mu, banyak dosa dengan isteri dan dua anakku. Maaf sebab tak dapat jadi suami dan ayah yang sempurna macam orang lain," ciapnya.
Aidiel turut mendoakan agar isterinya mencapai impian yang diidamkannya, selain berharap mereka sekeluarga terus kuat melangkah.
"Semoga awak dapat capai apa yang awak hajati dan semoga kita sama-sama berjaya di dunia dan akhirat, love you sayang, Nurul Ain Jariah," tambahnya.
Perkongsian video tular itu bukan sekadar tentang kesusahan, tetapi juga sarat dengan nilai kasih sayang, rasa hormat dan pengorbanan yang menjadi nadi sesebuah keluarga.
Dalam keadaan serba kekurangan, pasangan suami isteri itu memilih untuk tetap melangkah bersama walaupun didatangi ujian hidup yang sangat berat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
