Mekap, gaya ala TokTi, murid darjah 1 johan pertandingan 'Tiru Tokoh' mirip Biduanita Negara


  • Bonda
  • Selasa, 25 Nov 2025

Seorang murid darjah satu berpakaian persis Siti Nurhaliza dinobatkan juara pertandingan Tiru Tokoh di sekolahnya.

PIHAK sekolah kebelakangan ini semakin kreatif menganjurkan program yang menggabungkan akademik dan aktiviti keyakinan diri bagi menyemai skil serta kebolehan pelajar di luar bilik darjah.

Aktiviti sedemikian bukan sahaja menguji keberanian, malah membuka ruang untuk kanak-kanak mengekspresikan bakat terpendam.

Di sebuah sekolah rendah, seorang murid tahun satu mencuri perhatian apabila bukan sahaja tampil bergaya ala Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, malah turut berjaya dinobatkan gelaran johan dalam pertandingan 'Jejak Inspirasi Tiru Tokoh' diadakan baru-baru ini.

BACA LAGI: 'Dia jadi lebih berani, kurang tantrum', bapa kongsi kelebihan hiking bersama 2 anak sejak bayi

BACA LAGI: Gigi Hadid jadi guru ganti, ajar kanak-kanak beraksi persis model ‘catwalk’

Menurut perkongsian ibunya, anaknya pada awalnya dikatakan malu untuk menyanyi di atas pentas meskipun telah berpakaian lengkap dan disolek menyerupai penyanyi tersohor itu.

Namun, setelah beberapa kali dipujuk dan dibantu, si kecil itu kemudiannya terus bersemangat serta tidak kekok menyanyikan lagi berjudul Menamakanmu Cinta di khalayak ramai.

"Dia cakap malu, saya cakap masa nyanyi tu, bayangkan ibu ada dekat depan dan nyanyikan untuk saya sebab itu lagu kegemaran saya," kongsi saranasrudin di laman Threads.

 

 

Tanpa disangka, persembahannya mendapat sorakan gemuruh yang nyata teruja melihat keberanian murid berusia tujuh tahun tersebut berdiri seorang diri di tengah pentas.

Dalam pada itu, guru-gurunya juga dikatakan turut memuji keyakinan luar biasa dipamerkan apatah lagi pada murid seawal usia itu.

Lebih membanggakan, persembahan tersebut melayakkannya dinobatkan sebagai johan pertandingan, sekali gus menjadi kenangan manis buat seisi keluarganya.

"Cikgu pun tak sangka anak darjah satu berani nyanyi atas pentas seorang diri, good job kakak, we love you," ujar ibunya penuh bangga.

Program dianjurkan bukan sahaja mencungkil bakat seni kanak-kanak, tetapi juga dapat mengasah keberanian, kemahiran komunikasi serta kreativiti yang menjadi elemen penting dalam perkembangan individu sejak usia muda.

Malah, tidak mustahil pihak sekolah juga mampu melahirkan legasi seni dari generasi baharu sekiranya pertandingan sebegini kerap diadakan bagi mencungkil bakat terpendam si cilik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram