Anak bijak ikut ibu? Pakar ulas sebab genetik wanita lebih dominan bentuk perkembangan si kecil


  • Bonda
  • Rabu, 19 Nov 2025

PERKEMBANGAN awal kanak-kanak sering dikaitkan dengan faktor didikan, nutrisi dan persekitaran.

Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, penyelidikan saintifik semakin banyak menekankan peranan genetik ibu dalam pembentukan kognitif, fizikal dan tingkah laku anak seawal lima tahun pertama kehidupan.

Menurut Pakar Fertiliti, Dr. Salleha Khalid, setiap manusia dilahirkan dengan gabungan trait dan gen daripada kedua-dua ibu bapa.

BACA LAGI: [VIDEO] Tular Nasha Aziz bantu warga emas kutip kotak terpakai, status model, pelakon tolak tepi

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya minta nak pegang pipi', wanita sebak dapat lepas rindu peluk, cium 'aunty' mirip arwah ibu

Namun, terdapat beberapa ciri tertentu yang lebih dominan diwarisi daripada ibu berbanding bapa.

“Kita adalah unik, ada sifat datang daripada genetik ayah dan ada juga daripada genetik ibu, kedua-duanya memainkan peranan berbeza terhadap perkembangan anak.

"Salah satu contoh mudah ialah penentuan jantina dan sifat yang sepenuhnya ditentukan oleh sperma bapa membawa kromosom X atau Y," ujarnya di laman Instagram.

Namun, bagi perkembangan kognitif, pembentukan awal tubuh dan beberapa risiko kesihatan lain dikatakan lebih signifikan terhadap peranan genetik ibu.

Menurut laporan antarabangsa yang diterbitkan dalam jurnal PLOS Genetics oleh penyelidik daripada University College London (UCL), genetik ibu dilaporkan memainkan peranan lebih besar terhadap perkembangan berat badan anak.

Malah, ia bukan sekadar melalui gen yang diwarisi, tetapi juga terbentuk daripada kesan tidak langsung persekitaran awal kanak-kanak.

Kajian itu melibatkan 2,621 keluarga di United Kingdom berpandukan data generasi Z (anak-anak lahir pada 2001/02).

Penyelidik menilai bagaimana BMI ibu bapa, tabiat pemakanan serta gen yang diwarisi atau tidak diwarisi mempengaruhi perkembangan berat serta diet anak dari usia lahir hingga 17 tahun.

Hasil kajian menunjukkan:

- BMI bapa mempengaruhi BMI anak hampir sepenuhnya melalui pewarisan genetik.

- Tetapi, BMI ibu memberi kesan tambahan yang ketara walaupun selepas faktor gen warisan diambil kira.

Ini bermaksud genetik ibu tidak hanya mempengaruhi anak melalui DNA yang diwarisi, tetapi melalui asuhan genetik (genetic nurturing) iaitu bagaimana gen ibu mempengaruhi tubuh, tabiat dan tingkah laku yang sekali gus membentuk tumbesaran anak.

Contoh:

- Gen ibu boleh mempengaruhi berat badan dan tabiat pemakanan anak.

- Selepas kelahiran, gen ibu boleh mempengaruhi gaya keibubapaan, pilihan makanan dan cara mengurus anak.

Kesimpulannya, faktor genetik khususnya daripada pihak ibu membentuk perkembangan awal anak termasuk kecerdasan, tingkah laku dan risiko kesihatan tertentu.

Namun, genetik hanyalah satu bahagian daripada perjalanan membesarkan anak dengan pemakanan, rangsangan awal, kasih sayang dan hubungan keluarga yang sihat tetap memainkan peranan besar dalam menentukan masa depan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram