DALAM membesarkan anak istimewa khususnya spektrum autisme, ibu bapa sering berdepan cabaran besar termasuk soal kesesuaian penjaga, rutin harian dan persekitaran yang selamat.
Ramai kanak-kanak autisme sangat sensitif terhadap perubahan, justeru sebarang keputusan ibu bapa mengenai penjagaan anak perlu dihormati kerana mereka paling memahami keperluan si kecil.
Hal itu ditekankan oleh penyanyi popular, Shila Amzah yang baru-baru ini menjelaskan beberapa sebab mengapa beliau dan suami kurang menggalakkan anaknya, Seth Uwais dibawa keluar individu selain daripada ahli keluarga.
BACA LAGI: Anak bijak ikut ibu? Pakar ulas sebab genetik wanita lebih dominan bentuk perkembangan si kecil
BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya minta nak pegang pipi', wanita sebak dapat lepas rindu peluk, cium 'aunty' mirip arwah ibu
Menerusi perkongsian di media sosial, Shila menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat atas faktor pemahaman mendalam mengenai keperluan sensori dan tingkah laku anaknya yang didiagnos autisme.
"Bukan semua parents pandai nak jaga anak autisme, kalau saya dan Ubai tak ada rasa percaya untuk seseorang bawa Seth keluar, itu memang keputusan kami.
"Kami lebih mengenali anak kami dan dia dah lama tidak tantrum sehinggalah baru-baru ini," katanya.
Tambahnya, meskipun Ubai bukan bapa kandung Seth, hubungan mereka cukup akrab dan sangat baik hinggakan anaknya lebih selesa bersama suaminya berbanding orang lain.
"Ubai mungkin bukan biological father, tapi Seth memang paling sayang dan paling hormat dia sebagai bapa yang stepped up.
"Dialah yang mendisiplinkan, tunjukkan empati, ajar emosi, ajar tendang bola dan malah potty trained dia, kami curahkan sepenuh hati dan jiwa untuk Seth," ujarnya.
Dalam pada itu, pelantun lagu Patah Seribu tersebut turut menyatakan bahawa hanya individu tertentu yang benar-benar memahami keperluan sensori Seth, termasuk ibunya sendiri dan rakan-rakan rapat sahaja dibenarkan keluar bersama anaknya.
“Mak saya bawa Seth ke mana-mana pun dia suka sangat, begitu juga dengan kawan-kawan saya dan kawan-kawan Ubai.
"Mereka belajar apa Seth suka, pandai ambil hati dia dan sangat faham apa yang boleh trigger sensory issue dia.
"Jadi memang ada orang yang boleh keluar berdua dengan Seth dan dia balik dalam keadaan happy," jelasnya.
Sama sekali tidak meletakkan kawalan ketat terhadap anaknya, namun Shila berharap agar masyarakat memahami bahawa setiap keputusan dibuat adalah demi kestabilan emosi Seth dan bukan kerana faktor lain.
Sekadar info, Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah kini mendirikan rumah tangga bersama pempengaruh Ubai Mohd Zulkefli pada Ogos 2023 selepas melalui episod perceraian sebelum ini.
Pasangan itu menyambut kelahiran anak perempuan mereka, Rhea Akira pada 2024 menjadikan Shila kini ibu kepada dua cahaya mata.
Sejak berkahwin, Shila dan Ubai sering berkongsi rutin harian membesarkan kedua-dua anaknya termasuk perkembangan Seth yang sentiasa memerlukan pendekatan khusus demi perkembangannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
