[VIDEO] 'Saya minta nak pegang pipi', wanita sebak dapat lepas rindu peluk, cium 'aunty' mirip arwah ibu


  • Bonda
  • Selasa, 18 Nov 2025

Seorang wanita gagal menahan sebak apabila terserempak individu dengan raut wajah mirip arwah ibunya.

SESETENGAH pertemuan tidak dirancang, namun hadir sebagai pengubat rindu yang tersimpan jauh di sudut hati.

Bagi individu yang pernah kehilangan insan tersayang, rasa rindu tidak akan pernah luntur bahkan mustahil untuk lenyap dari ingatan seseorang.

Perkongsian tular @lonelyplane_ di media sosial baru-baru ini membuktikan bagaimana pertemuan singkat boleh mengundang sebak yang tidak tertahan.

BACA LAGI: Ulang SPM 10 kali, adik kongsi abang OKU dulu dicop 'slow learner', gagap teruk kini jadi guru pada usia 37 tahun

BACA LAGI: Yana Samsudin selamat bersalin anak ke-4, suami sempat gurau isteri 'pertama' paling muda, azan 'lip sync'

Individu wanita berkenaan berkongsi detik penuh emosi apabila beliau terserempak dengan seseorang memiliki raut wajah, senyuman dan pesona mirip arwah ibunya yang telah meninggal pada 2013.

Jelasnya, situasi tersebut berlaku di sebuah pasar raya ketika beliau sedang beratur untuk proses bayaran manakala individu tersebut berada di kaunter sebelah.

Menurutnya, pandangan pertama terhadap wanita digelar aunty itu bagaikan memutar semula kenangan bersama arwah ibu.

"Tadi masa jumpa aunty tu dekat checkout counter, kita dah pandang je dia sebab sebelah je kaunter,” katanya menggambarkan situasi mengejut dihadapinya.

Lebih mengharukan, rakannya di sebelah turut menyedari perkara tersebut ekoran raut wajahnya yang dikatakan sangat serupa dengan arwah.

Tanpa berfikir panjang, rakannya menghampiri wanita berkenaan untuk memaklumkan bahawa wajahnya benar-benar menyerupai arwah ibu sahabatnya, sebelum meminta izin untuk merakam gambar sebagai kenangan.

Namun, sebelum permintaan itu sempat diteruskan, suasana bertukar pilu apabila rakannya terlebih dahulu memeluk wanita itu dan menangis teresak-esak tanpa mengeluarkan suara.

Melihatkan reaksi tersebut, wanita berkenaan memberanikan diri untuk memohon satu lagi permintaan yang amat bermakna iaitu menyentuh pipi aunty tersebut.

"Kita bagitahu kata nak pegang pipi, boleh? Aunty tu angguk ALLAH, kita rindu pipi licin bak tomato arwah," ujarnya.

Bagi sesetengah masyarakat, permintaan sedemikian mungkin dianggap janggal dan pelik pada individu tidak dikenali.

Namun, bagi mereka yang pernah kehilangan ibu, ia bukan sekadar sentuhan biasa, tetapi sarat dengan segala kenangan silam yang tidak dapat diulang kembali.

Pertemuan singkat itu juga memperlihatkan sisi kemanusiaan yang indah malah wanita yang menyerupai arwah ibunya juga tidak sedikit pun menunjukkan rasa tidak selesa.

Sebaliknya, beliau memberi ruang, membalas pelukan dan mengizinkan sentuhan kecil itu seolah-olah memahami keperitan rindu seseorang terhadap seorang insan yang telah pergi.

Dalam dunia yang semakin sibuk, momen sebegini memberi peringatan bahawa kasih ibu tidak pernah padam walaupun jasadnya sudah tiada.

Ia secara tidak langsung mengingatkan bahawa rindu seorang anak kepada ibunya adalah perasaan yang tidak mudah dilupakan dan sentuhan kecil kadang-kala cukup untuk meredakan beban emosi dipikul sejak sekian lama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram