KRISIS bekalan darah menjadi peringatan betapa pentingnya sumbangan penderma, terutama bagi pesakit kanak-kanak yang menghidap kanser darah.
Baru-baru ini, Pusat Darah Negara (PDN) menerima permintaan untuk komponen darah jenis granulosit bagi seorang kanak-kanak pesakit kanser darah di sebuah hospital kerajaan.
Pesakit tersebut memerlukan sekitar tiga hingga lima beg darah granulosit setiap hari sebagai sebahagian daripada rawatan berterusan selama dua minggu.
BACA LAGI: Michelle Yeoh bakal terima anugerah pencapaian seumur hidup di Festival Filem Berlinale 2026
Keperluan itu merangkumi keperluan semasa dan beberapa hari berikutnya, menjadikan sumbangan darah penderma sangat kritikal untuk menyelamatkan nyawa pesakit.
Apa itu darah granulosit
Granulosit adalah salah satu jenis sel darah putih yang memainkan peranan penting dalam sistem imun, terutamanya untuk melawan jangkitan.
Bagi pesakit kanser darah yang mengalami jumlah sel darah putih yang sangat rendah, granulosit menjadi komponen yang penting untuk menyokong sistem imun mereka.
Granulosit dihasilkan daripada lapisan (buffy coat) darah utuh yang disumbangkan oleh penderma tetap.
Darah utuh sebanyak 450ml diproses menggunakan kaedah Platelet-Rich Plasma (PRP) melalui proses emparan dan suhu pemprosesan serta penyimpanan dikekalkan antara 20℃ hingga 24℃ bagi memastikan sel granulosit kekal aktif.
Malah menurut PDN, komponen granulosit itu hanya boleh diberikan kepada pesakit dalam tempoh 24 jam selepas pengumpulan untuk memastikan keberkesanan transfusi.
Kepentingan penderma darah konsisten
Dalam isu berbangkit, seorang kanak-kanak memerlukan antara 42 hingga 70 penderma darah tetap untuk menampung keperluan rawatan selama dua minggu.
Jumlah itu menunjukkan tahap konsistensi penderma darah negara ketika ini di tahap kritikal yang sekali gus memberi risiko kepada nyawa yang boleh diselamatkan.
Pihak PDN dalam masa sama menekankan bahawa darah sentiasa diperlukan setiap hari, bukan hanya dalam situasi kecemasan.
Bagi individu yang ingin menderma darah boleh mendapatkan maklumat lokasi pusat kutipan darah terkini melalui laman sesawang rasmi, (http://www.pdn.gov.my).
Sumbangan darah bukan sahaja membantu menyelamatkan nyawa, tetapi juga memberi harapan kepada keluarga dan pesakit khususnya kanak-kanak yang sedang berjuang menentang kanser. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
