DALAM dunia pendidikan, kejayaan seseorang lazimnya diukur melalui keputusan cemerlang atau pencapaian awal dalam bidang akademik.
Namun, perlu diingatkan bahawa kecemerlangan tidak semestinya datang dari permulaan yang sempurna, sebaliknya juga boleh dibentuk daripada ketabahan luar biasa khususnya individu orang kelainan upaya (OKU).
Kisah itu cukup ideal digambarkan menerusi perkongsian Che Ainun Nasihah Ismail berkaitan abangnya yang mengalami masalah perkembangan sejak kecil sehingga menyebabkan berdepan pelbagai cabaran hidup.
BACA LAGI: Hawa Rizwana capai impian tunai umrah bersama ibu, syukur urusan kali pertama dipermudahkan
"Abang dilahirkan songsang dan proses kelahiran yang rumit menyebabkan dia mengalami masalah perkembangan sejak kecil.
"Slow learner kata mereka, gagap teruk, selalu hilang dalam dunianya sendiri, dibuli secara fizikal dan mental di sekolah walaupun ayah kami seorang guru di sekolah itu," katanya di laman Facebook.
Namun, perjalanan pendidikan abangnya cukup mencabar apabila beliau difahamkan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebanyak 10 kali dan pernah hampir berputus asa.
Usai tamat SPM, beliau meneruskan pengajian Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sebelum melanjutkan ke peringkat ijazah diikuti dengan kelayakan Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI).
Sepanjang tempoh itu, individu tersebut dikatakan turut bekerja sambilan sebagai pengawal keselamatan di hospital, sekolah, rumah orang tua dan membantu bapanya di sawah bendang.
Capai impian bergelar guru
Kini, lelaki yang dahulunya pernah dibuli, dicop 'lambat' belajar dan dibuli itu kini sah bergelar seorang guru.
Pada usia 37 tahun, beliau memulakan hidup baharu dengan gelaran yang selama ini terasa mustahil baginya.
"Dia tetap dia, abang yang aku kenal sejak kami kecil. Masih seperti dia, tetapi mencipta sejarah melalui ketabahan dari hidupnya sendiri.
"Semua yang terbaik untuk bab baru ini, usaha kamu di tempat baharu, kami akan sentiasa ada untuknya, sepanjang masa, selagi dia melaluinya sendiri," ujarnya.
Pada akhirnya, kejayaan bukan diukur melalui pencapaian dan karier semata-mata, tetapi paling utama adalah sejauh mana seseorang individu masih mampu bertahan walaupun diduga cabaran hidup.
Malah, ramai individu berdepan kekangan pembelajaran atau OKU khususnya mampu melangkah jauh jika diberikan peluang, ruang dan kepercayaan untuk berjaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
