Yana Samsudin selamat bersalin anak ke-4, suami sempat gurau isteri 'pertama' paling muda, azan 'lip sync'


  • Bonda
  • Sabtu, 15 Nov 2025

Fadzil Zahari ketika mengalunkan azan di telinga bayinya usai kelahiran cahaya mata keempatnya baru-baru ini.

PELAKON popular, Yana Samsudin atau nama lengkapnya Norliana Samsudin, 41, difahamkan telah selamat melahirkan cahaya mata keempatnya pada Rabu.

Khabar gembira itu dikongsikan sendiri suaminya, Fadzil Zahari menerusi hantaran di Instagram yang menghimpunkan ucapan syukur, doa dan tidak ketinggalan gurauan nakalnya yang mencuri perhatian warganet.

Menerusi video dimuat naik, Fadzil dilihat mengalunkan azan secara 'lip sync' menggunakan audio daripada televisyen, sekali gus membuatkan ramai terhibur dengan usikan jenaka usahawan itu.

BACA LAGI: Michelle Yeoh bakal terima anugerah pencapaian seumur hidup di Festival Filem Berlinale 2026

BACA LAGI: Henti diskriminasi warna kulit, air kelapa bantu lahir bayi ‘kulit putih’ cuma mitos — Dr. Imelda Balchin

Menurutnya, perjalanan kehamilan kali ini bukan mudah kerana Yana beberapa kali berdepan masalah kesihatan termasuk tekanan darah tinggi sehingga kerap dimasukkan ke hospital.

Namun, segala urusan kelahiran dipermudahkan dan beliau menitip rasa syukur atas kurniaan zuriatnya.

"Alhamdulillah, anak keempat abang selamat dilahirkan isteri pertama yang paling muda, syukur tak terhingga.

"Walau banyak ujiannya, banyak kali admit, darah tinggi, SubhanALLAH, ALLAH mudahkan juga.

 

 

Dalam hantaran sama, Fadzil turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan isterinya dan menitipkan doa agar pasangan lain yang menantikan kehadiran zuriat turut dikurniakan rezeki.

"Abang doakan hangpa pun menerima zuriat, selamat melahirkan dan anak-anak hangpa sihat," tambahnya.

Untuk rekod, Yana Samsudin dan Fadzil Zahari mengikat tali penikahan pada 13 Februari 2015 dalam sebuah majlis sederhana diadakan di Yong Peng, Batu Pahat, Johor.

Perkahwinan pada mulanya mencuri perhatian ramai kerana Fadzil, yang juga adik kepada pelakon Farid Kamil, sering tampil dengan gaya dan personaliti bersahaja, berbeza dengan abangnya.

Hasil perkahwinan itu, pasangan dua sejoli tersebut kini mempunyai empat orang cahaya mata iaitu Aisy Mateen, Aura Aisy Sofea, Aisy Hakeem dan bayinya.

Pada kelahiran sebelum ini, Fadzil membuat kejutan membawa Yana ke pusat penjagaan berpantang profesional agar isterinya lebih selesa dan mendapat pemantauan rapi.

Sikapnya yang sentiasa memudahkan urusan Yana turut menjadi antara sebab pasangan itu sering menjadi inspirasi kepada peminat mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram