
AIR mata menitis dalam kesunyian, suara bergetar penuh rasa dan hati yang rela berkorban demi kebahagiaan anak.
Itulah primadona Malaysia, Erra Fazira, yang membuka lembaran duka perjalanan hidupnya sebagai ibu.
Dengan penuh keberanian, beliau menceritakan keputusan pahit melepaskan hak penjagaan anak tunggalnya, Engku Aleesya, kepada bekas suami.
BACA LAGI: Bintang Indonesia ke mahkamah tuntut nafkah anak sebanyak 2.5 sen, sambil melaram beg nilai RM1 juta
Keputusan itu dibuat bukan kerana kurangnya cinta, tetapi kasih sayang yang terlalu mendalam untuk melihat anaknya tidak terperangkap dalam konflik penceraian.
Perkongsian diceritakan dalam satu program dengan tangisan tak dapat disembunyikan, menyentuh jiwa ramai pendengar. Secara tidak langsung mengingatkan kita bahawa keibuan sejati sering kali menuntut pengorbanan memilukan demi kebahagiaan yang kekal.
Erra pernah mewakili Malaysia dalam pertandingan Miss World 1992 di Sun City, Afrika Selatan dan memenangi gelaran Miss Malaysia World.
Kemenangan itu membuka pintu kerjaya sebagai model, pelakon dan penyanyi, dengan filem seperti Soal Hati dan Cinta Kolestrol menjadikannya ikon kecantikan dan paling berbakat di Asia Tenggara.
Namun, di sebalik sorotan gemilang itu, kehidupan peribadinya penuh liku.
Erra (kanan) mencari kebahagiaan baharu apabila berkahwin dengan pilihan hati, Engku Emran pada 25 Oktober 2007.
Selepas gagal dalam perkahwian terdahulu bersama penyanyi kumpulan KRU dan pengarah filem, Yusry Abdul Halim, Erra menemui kebahagiaan baharu apabila berkahwin dengan pilihan hati, Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 25 Oktober 2007.
Majlis perkahwinan mereka yang sederhana, namun penuh makna menjadi permulaan babak baharu buat Erra yang berharap dapat membina keluarga lebih stabil.
Pada 30 Mac 2009, pasangan itu dikurniakan cahaya mata, Engku Aleesya Engku Emran, yang membawa kegembiraan baharu ke dalam kehidupan Erra sebagai ibu.
Namun, sama seperti perkahwinan sebelumnya, retak mula muncul selepas tujuh tahun dengan pelbagai spekulasi masalah rumah tangga bergelora selama tiga tahun terakhir.
Akhirnya, pada 18 Februari 2014, Engku Emran melafazkan talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor mengakhiri perkahwinan itu dengan sepakat berpisah secara damai.
Erra Fazira bersama Aleesya, sinar hidup yang menjadi tempat pengorbanannya.
Dalam temu bual yang disiarkan baru-baru ini, suaranya sayu, air mata mengalir, sambil menceritakan keputusan sukar melepaskan hak penjagaan Aleesya sepenuhnya kepada bekas suami.
"Bukanlah sesuatu yang mudah untuk melepaskan custody.
"Tapi ada sebab dan alasan saya, pengalaman saya. Tak guna kalau bagi saya, dua-dua berkeras, dua-dua berdegil, akan ada seorang menjadi mangsa," katanya, mengakui hak penjagaan biasanya milik ibu.
Pengorbanan itu, katanya, lahir daripada keinginan untuk mengelak pertengkaran yang boleh melukai Aleesya.
"Maka saya memilih, meskipun kalau saya yang perlu berkorban, saya berkorban. Untuk anak saya, saya tak suka bergaduh, saya tak suka menunding jari."
Erra sedia memikul segala kesalahan, "Seandainya semua kesalahan itu harus jatuh ke tangan saya, bahu saya, saya sedia terima. Itu adalah pendirian saya. Asalkan semua orang bahagia."
Beliau menggambarkan minggu pertama selepas keputusan itu sebagai neraka emosi.
"Jadi saya cubalah, saya cuba, saya pun doa. Bukan sesuatu yang mudah. Satu minggu saya di rumah, nak menerima hakikat itu sangat susah. Tak nak keluar rumah, saya berbicara dengan ALLAH, beri kekuatan dan adakah ini yang terbaik."
Dalam kesunyian itu, jawapan datang melalui kekuatan dalaman.
"Dalam masa satu minggu itu, saya dapat jawapannya, kekuatan itu datang. Saya buat itu semua untuk kebahagiaan. Sudah tentu anak saya, keluarga saya, banyak benda saya kena jaga. Jadi saya lah."
Aleesya, ketika itu berusia tiga tahun, menjadi saksi pilu perpisahan itu.
"Ketika itu usia dia tiga tahun. Dia tanya, kenapa dah tak balik rumah? Kenapa dia kena di rumah sana lebih lama? Kadang-kadang nak berpisah itu. Dia menangis sebab tak cukup masa bersama mak dan mak pun tak cukup masa bersama anak."
Erra, dengan hati terseksa, menjelaskan kepada anak kecil itu seperti orang dewasa.
"Tapi saya terangkan, dia cara dewasa lah. Buat masa ini sahaja. Satu hari nanti, kita doakan biar lembut hati semua orang, tanpa ada perbalahan."
Kata-katanya yang penuh tangisan itu menekankan prinsip utama: "Apa yang paling penting, Aleesya kena bahagia. Awak sangat beruntung."
Perkongsian yang diceritakan dengan suara penuh sedih dan air mata yang tak tertahan, bukan sahaja menyentuh hati peminat, malah menjadi peringatan bahawa keibuan sejati sering kali bermakna melepaskan bukan kerana lemah, tetapi kerana kasih yang terlalu dalam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram