
TENGKU Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bukan sahaja dikenali kerana auranya sebagai pewaris takhta, malah turut mencuri perhatian dengan fizikalnya yang tinggi lampai.
Persoalan yang sering timbul, apakah rahsia di sebalik tubuhnya yang tegap itu?
Jawapannya terungkai apabila bondanya sendiri, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkongsi pengalaman membesarkan anakanda baginda dalam sebuah video yang tular.
BACA LAGI: Cipta ruang elegan tanpa rasa sesak, hilang nilai estetika, ini 5 'pantang larang' hias kamar kecil
BACA LAGI: Erra Fazira perjelas sebab lepaskan hak penjagaan anak kepada bekas suami
Menurut baginda, pemakanan seimbang serta rutin tidur yang baik adalah kunci utama kepada tumbesaran anak, khususnya sepanjang 1,000 hari pertama selepas kelahiran.
Baginda menyentuh budaya Melayu yang mana anak-anak kerap diberikan nasi dalam kuantiti yang banyak, sedangkan yang lebih penting adalah protein, zat besi serta sayur-sayuran.
"Umur empat bulan saya dah bagi dia makan hati ayam, lebihkan iron dalam makanan. Saya masih ingat ini kerana saya ada baca satu buku, dia kata kalau nak anak tinggi, bagi makanan yang mengandungi banyak iron dan nasinya sikit sahaja.
"Tapi orang Melayu, nasi semangkuk sementara ayam dan ikan kecil sahaja. Yang patutnya lebih ialah ayam, daging, ikan, sayur-sayuran," kata baginda yang menyifatkan Hassanal sebagai 'eksperimen'.
Pandangan tersebut turut disokong oleh pakar kesihatan yang juga pempengaruh, Dr. Muhamad Hazwan Nazri atau lebih dikenali sebagai Dr. Wan Share.
Tengku Hassanal (empat dari kiri) merupakan ahli keluarga diraja Pahang yang paling tinggi berbanding lain. — Facebook/Istana Negara
Katanya, protein daripada ayam, ikan, daging serta hati ayam merupakan asas utama kepada pertumbuhan otot serta tulang.
Hati ayam yang kaya zat besi pula membantu penghasilan hemoglobin yang berfungsi menghantar oksigen ke seluruh tubuh termasuk ke tulang.
Tunku Azizah turut menasihatkan agar susu dijadikan minuman utama untuk anak-anak, manakala air manis seperti sirap dan minuman berperisa sebaiknya dielakkan.
Selain itu, air kosong serta susu adalah sumber kalsium dan protein penting yang menyokong kekuatan tulang.
Kongsi Tunku Azizah lagi, aspek tidur juga tidak kurang pentingnya.
"Kalau nak anak tinggi, pukul 7:30 malam sudah masuk katil, pukul 8 lampu tutup. Semakin cukup tidur mereka, semakin tinggi anak membesar," jelas baginda.
Menurut Dr. Hazwan, banyak kajian yang dibuat membuktikan bahawa tidur juga menyumbang kepada faktor ketinggian seseorang
Dalam pada itu, baginda turut menambah, penjagaan pemakanan ibu hamil tidak boleh diabaikan.
Sembilan bulan dalam kandungan dan tempoh awal selepas kelahiran dianggap fasa emas yang menentukan kesihatan serta ketinggian anak.
Ibu digalakkan mengambil makanan kaya protein, zat besi, kalsium, vitamin D dan pada masa sama menjaga waktu rehat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram