Terduduk lepas dibebani hutang, isteri kaki shopping sedar hikmah dapat suami 'kedekut', jodoh tak sekufu


  • Cinta
  • Rabu, 12 Nov 2025

Setiap perbezaan pasangan memainkan peranan penting dalam membina rumah tangga yang bahagia. — Gambar hiasan/AI

PERBEZAAN gaya hidup dan cara berfikir tidak dinafikan sering menjadi ujian dalam rumah tangga.

Namun, bagi wanita bernama Nur Syereena Nojumuddin, perbezaan yang dianggap tidak sekufu itu bukanlah penghalang untuk membina kebahagiaan.

Ibu kepada tiga cahaya mata yang sebelum ini kerap berkongsi tentang kisah perkahwinannya di media sosial itu turut mendedahkan caranya dan suami menyesuaikan diri.

BACA LAGI: Bukan setakat simpan gambar, lawat kubur, ramai tak sedar ada perkara lebih penting anak perlu buat bila ibu bapa meninggal dunia

BACA LAGI: 'Ibu orang baik' ayat pertama anak selepas 10 tahun koma, wanita dedah keajaiban bawa anak menari setiap hari

Berbelanja merupakan satu kebahagiaan buat wanita tersebut. — Gambar hiasan

Meskipun suaminya mempunyai pandangan berbeza terhadap wang dan perbelanjaan harian, Nur Syereena tetap melihat berbelanja sebagai satu kebahagiaan.

Dia pada masa sama mendedahkan tabiat berbelanjanya yang tidak perlu terlalu memikirkan soal kewangan. 

"Saya dibesarkan dari keluarga cukup serba-serbi dan tak perlu cari atau urus duit.

"Suami pul lahir dari keluarga yang dididik berdikari, menyimpan buat dia tenang.

"Pemikiran dan gaya hidup kami berbeza tetapi disatukan dengan ikatan perkahwinan.

"Awal perkahwinan, saya tinggalkan tabiat berbelanja sebab suami tiada duit.

"Namun, bila dia dah berjaya dan bisnes makin maju, saya ingat hidup kami akan berubah. Rupanya tidak," kongsinya.

Nur Syereena atau lebih dikenali sebagai Dr. Syereena itu mengakui pernah terguris hati apabila suaminya tetap memilih untuk hidup sederhana walaupun sudah berkemampuan.

Suaminya hanya berbelanja untuk keperluan asas keluarga dan perniagaan, sedangkan dirinya mengimpikan gaya hidup lebih mewah.

Konflik tersebut berlarutan apabila dia mula menggunakan kad kredit dan membuat pinjaman peribadi untuk menampung keinginan membeli barangan rumah serta keperluan anak sekali gus menyebabkan kewangannya menjadi tidak stabil.

"Bila ada anak saya tak boleh tahan nafsu beli baju anak dan permainan.

"Masa Covid bisnes keluarga saya jatuh teruk dan saya berani buat pinjaman peribadi. 

"Ketika ini hidup mula huru-hara, gaji saya dipotong banyak setiap bulan dan kad kredit pula dah cecah had," ceritanya.

Hidupnya mula berubah apabila bisnes keluarganya jatuh ketika Covid-19 melanda. — Gambar hiasan

Namun, setiap masalah ada jalan penyelesaiannya, hidupnya mula berubah apabila pasangan itu mula berbincang secara terbuka.

Mereka saling meluahkan isi hati dan belajar memahami sudut pandang masing-masing.

"Suami saya akhirnya bantu selesaikan semua hutang saya termasuk kad kredit, pinjaman Aeon, malah pinjaman peribadi.

"Ketika itu, saya rasa seperti ditampar realiti. Baru saya sedar cara dia urus duit selama ini betul," ujarnya.

Kini, selepas enam tahun bersama, pasangan itu berjaya menemui keseimbangan.

Daripada kejadian itu, beliau belajar mengawal keinginan berbelanja, manakala suaminya pula mula belajar untuk menikmati hasil usaha mereka bersama.

"Sekarang suami dah tak hilang masa nak bayar dan pandai menikmati rezeki.

"Saya beli bunga, dia beli saham. Satu untuk jiwa, satu untuk masa depan, dua-dua penting.

"Jodoh tak sekepala? Berubah dan  carilah titik persefahaman. Jodoh itu takdir, tetapi bahagia itu usaha," ucapnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram