Wanita trauma dicabul lelaki tak dikenali ketika pulang kerja di Nilai, pelaku sasar kawasan tiada CCTV


  • Maya
  • Rabu, 12 Nov 2025

Seorang wanita didakwa dicabul lelaki tidak dikenali ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja baru-baru ini. — Gambar hiasan

ORANG ramai terutama golongan wanita dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika berada di tempat awam pada waktu malam.

Hal ini kerana dibimbangi kejadian tidak diingini berlaku seperti yang dialami oleh seorang wanita di kawasan Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Berdasarkan perkongsian kakaknya di akaun Threads @meuwneurah, kejadian tersebut berlaku ketika adiknya dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

BACA LAGI: Terduduk lepas dibebani hutang, isteri kaki shopping sedar hikmah dapat suami 'kedekut', jodoh tak sekufu

BACA LAGI: Hilang nyawa akibat makan supplemen RM20 beli di internet

Dakwanya, mangsa menunggang motosikal seorang diri dan secara tiba-tiba didatangi seorang lelaki tidak dikenali.

Lelaki tersebut kemudian dikatakan bertindak diluar kawalan dengan menyentuh dada mangsa sebelum melarikan diri.

"Sumpah kesian dia sampai menangis cakap tak nak balik malam dah. Adik saya kena di kawasan Surau Mahabbah Desa Indah, Nilai," dakwanya.

Lebih membimbangkan apabila pihak polis memaklumkan bahawa lebih 10 kes serupa dilaporkan berlaku di kawasan sama.

"Pelaku tukar motosikal, ada LC, Kriss dan Y15. Dia sasar perempuan yang berseorangan di kawasan gelap dan tiada kamera litar tertutup (CCTV).

"Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai pun ada yang pernah kena," ujarnya.

Mendengar kisah itu, beberapa pengguna media sosial lain turut tampil berkongsi pengalaman sama.

"Saya pernah kena macam ini dari kecil, naik bas ada lelaki cubit kawan punya 'tempat' dari belakang.

"Kawan saya pukul pun dia tak berhenti. Pernah juga ada lelaki sengaja sentuh badan masa berselisih jalan," dedah pengguna akaun @presetmurahmalaysia.

Sebagai langkah berjaga-jaga, individu yang menjadi mangsa kejadian berkenaan disarankan agar membuat laporan polis secepat mungkin.

Kejadian tersebut turut digalakkan untuk diwar-warkan di dalam kumpulan komuniti setempat di platform media sosial seperti Facebook atau aplikasi WhatsApp. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram