PEMERGIAN ibu bapa pastinya meninggalkan ruang kosong yang hanya diisi dengan kenangan dan kerinduan di dalam hati.
Kebanyakannya juga memilih untuk mengekspresikan kasih sayang itu melalui tindakan simbolik seperti menyimpan gambar atau barangan milik arwah ibu bapa yang sudah meninggal dunia.
Namun, tanpa sedar amalan tersebut hanyalah bentuk penghormatan luaran yang belum pasti memenuhi keperluan sebenar untuk ibu bapa yang berada di alam barzakh.

Amal ibadah antara perkara utama dilakukan oleh anak untuk ibu bapa sudah meninggal dunia. — Gambar hiasan
Selain barang peribadi arwah, ramai juga anak-anak melakukan kesilapan apabila hanya menumpukan perhatian kepada aspek sentimental seperti kerap membersihkan pusara dan terus bersedih atau meratapi si mati tanpa henti.
Berdasarkan perkongsian bermanfaat daripada pemilik akaun Threads @feeqahussein_, kihdmat dan bakti seorang anak terhadap kedua ibu bapa sudah meninggal dunia hanyalah amal ibadah.
Antara amalan utama yang ditekankan termasuklah doa keampunan dan rahmat yang dipohon khusus untuk arwah.
"Sedekah dan amal jariah yang diniatkan pahalanya untuk kedua-dua ibu bapa.
"Amal soleh yang menjadi hasil didikan mereka semasa hayat.
"Menyebut dan mengingatkan orang lain tentang kebaikan yang pernah dilakukan oleh ibu bapa.
"Bacaan Surah Al-Fatihah yang disedekahkan setiap hari kepada arwah," kongsinya.
Peringatan itu turut menjelaskan bahawa segala nikmat duniawi tidak lagi memberi makna kepada mereka yang berada di alam barzakh.
Yang bernilai hanyalah amalan baik yang dibawa dari dunia serta pahala yang dikirim oleh anak-anak.
"Ingatlah, hari ini sebagai anak, esok atau lusa apabila kita mati amalan sama kita harapkan daripada anak-anak," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
