DI sebalik cabaran ekonomi dan peningkatan kos sara hidup, aktiviti bercucuk tanam di rumah kini menjadi alternatif ramai rakyat Malaysia.
Selain dapat menjimatkan perbelanjaan harian, ia juga membantu mewujudkan suasana kediaman yang lebih hijau dan menenangkan.
Seiring dengan itu, inisiatif penjualan anak pokok sayur serendah RM1 oleh Tropicaland Agro membuka peluang baharu kepada masyarakat untuk mula menanam sendiri di rumah dengan kos yang rendah.
BACA LAGI: Tembusi pasaran Malaysia, Dilmah Tea jenama teh ke-3 terbesar dunia hasil warisan generasi keluarga

Nurseri Tropicaland Agro yang terletak di Klang, Selangor.
Langkah dilakukan oleh pengusahanya, Siti Nurnajwa Nazeri, bersama pasukannya sekali gus dapat mengurangkan kos membeli sayur-sayuran harian.
Menurutnya, idea tersebut tercetus apabila melihat peningkatan ketara dalam permintaan anak pokok, terutama tanaman sayuran daripada pelanggan nurserinya sejak empat tahun lalu.
Siti Nurnajwa atau lebih senang disapa sebagai Najwa berkata, terdapat lebih daripada 20 jenis ditawarkan bagi kategori anak pokok sayur RM1.

Antara pokok ulam, sayur dan herba yang dijual.
Ia termasuk anak pokok cili, terung, kacang panjang dan kangkung.
"Selain ditanam untuk kegunaan harian oleh suri rumah, anak pokok RM1 ini juga mendapat permintaan tinggi daripada pekebun kecil, kebun komuniti dan nurseri berhampiran,” katanya kepada Majoriti.
Setiap anak pokok yang dijual telah disemai sehingga mencapai umur yang stabil dan sesuai dipindahkan ke tanah atau pasu.
Pelanggan hanya perlu meneruskan penjagaan sehingga tempoh tuaian.
"Contohnya, pokok cili biasanya mula berbuah selepas lebih kurang 45 hari daripada tarikh anak pokok ditanam dan boleh dituai secara konsisten sehingga lebih enam bulan.
"Manakala, pokok kangkung boleh dituai seawal tiga minggu selepas ditanam.
"Ramai pelanggan sebelum ini cuba menyemai biji benih sendiri tetapi gagal.
"Dengan adanya anak pokok RM1 ini, mereka boleh terus menanam pokok yang sudah stabil tanpa risau ia cepat mati," katanya.

Panduan lengkap untuk menanam pokok buat para pelanggan.
Najwa menegaskan, inisiatif tersebut bukan semata-mata untuk menarik pelanggan, tetapi membantu lebih ramai orang menjana pendapatan kecil-kecilan dan memulakan aktiviti penanaman dengan kos rendah.
"Kami juga menyediakan lebih daripada 30 jenis pokok ulam dan rampaian masakan, 40 jenis pokok herba, 50 jenis pokok bunga, 60 jenis pokok buah serta 50 jenis pokok hiasan dalaman termasuk pelbagai kelengkapan berkebun seperti tanah campuran," jelasnya.
Kebanyakan pokok ulam dan rampaian masakan seperti daun kesum, serai dan ulam raja pula dijual pada harga serendah RM7.
Bagi pokok herba perubatan seperti pecah kaca dan belalai gajah dijual serendah RM12.
Tropicaland Agro juga menyediakan khidmat pemindahan anak pokok ke pasu secara percuma bagi pelanggan yang membeli pokok, tanah campuran dan pasu di nurseri.
Nurseri itu turut memberi panduan lengkap penjagaan tanaman daripada cara menanam, cara mengawal serangga hingga cara memilih baja yang sesuai agar pelanggan mendapat hasil yang optimum.

Antara tanaman lain yang turut dijual bermula serendah RM7.
Ditubuhkan sejak tahun 2016, Tropicaland Agro bukan sahaja menjual secara terus di premis nurserinya yang terletak di Klang, Selangor, malah turut memasarkan produknya melalui platform media sosial dan e-dagang.
Ini membolehkan pelanggan dari seluruh Malaysia membuat pesanan dengan mudah.
Setiap tempahan dibungkus dan dihantar hampir setiap hari melalui perkhidmatan kurier.
"Kami juga menerima pesanan melalui Local Order (LO) daripada pelbagai agensi kerajaan.
"Bermula November 2025, kami turut menawarkan pembelian pada harga borong kepada nurseri dan individu yang menjual pokok dengan pembelian minimum sebanyak 10 pokok bagi setiap jenis.
"Langkah ini bertujuan memudahkan pengusaha kecil mendapatkan stok tanaman pada harga lebih rendah, sekali gus menyokong perkembangan industri nurseri tempatan," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
