SEORANG wanita di China mencuri tumpuan ramai selepas usaha luar biasanya membawa keajaiban kepada proses pemulihan anak perempuannya yang berada dalam keadaan koma selama hampir sedekad.
Berdasarkan laporan agensi, Xiao Xuefei, 59, dari wilayah Hunan itu mengambil tanggungjawab menjaga anaknya, Yang Fang sepenuh masa di rumah.
Anaknya juga dilaporkan koma selepas mengalami penyakit kritikal ketika bekerja di Guangzhou pada 10 tahun lalu.

Keadaan Fang ketika masih koma. — Agensi
Lebih membimbangkan apabila doktor memaklumkan peluang Fang untuk sedar semula amat tipis dan mencadangkan agar rawatan hospital dihentikan.
Perkara tersebut bagaimanapun tidak membuatkan Xuefei berputus asa untuk terus berikhtiar.
Selepas memindahkan anaknya ke wad biasa, perubahan demi perubahan mula kelihatan.
Beberapa bulan kemudian, tubuh anaknya menunjukkan pergerakan ringan namun, masih tidak sedarkan diri dan tidak mampu bertutur.
Dia kemudian membawa anaknya pulang dan memulakan rawatan pemulihan sendiri.
Menurutnya, berdasarkan saranan doktor, muzik, tarian dan aktiviti luar berpotensi merangsang saraf yang ‘tidur’.

Fang (kiri) kini boleh bercakap dan berjalan selepas dirawat oleh ibunya (kanan). — Agensi
Setiap pagi, Xuefei akan menolak kerusi roda anaknya ke taman berdekatan.
Dia juga akan menari sambil memegang tangan dan menggerakkan tubuh Fang mengikut irama muzik tarian ringkas yang menjadi aktiviti sosial popular dalam kalangan wanita pertengahan usia di China.
Usahanya itu sekali gus menjadi perhatian masyarakat setempat sehingga membuatkan orang ramai turut tampil membantu melatih pergerakan Fang serta mengajarnya langkah-langkah tarian baharu.
Memasuki tahun kedua usaha itu dilakukan, keajaiban mula berlaku.
Fang menunjukkan perubahan positif apabila cuba bersuara dengan ayat pertama keluar dari mulutnya adalah 'ibu orang baik'.

Fang (kiri) bersama orang awam melakukan aktiviti tarian setiap pagi. — Agensi
Terharu dengan perkembangan itu, Xuefei segera membawa anaknya ke hospital dan disahkan terdapat perubahan ketara pada fungsi otaknya.
Hasil dedikasi tanpa henti selama 10 tahun itu, Fang kini mampu berjalan, bercakap dan menguruskan diri meskipun kemampuan kognitifnya masih dalam proses pemulihan dan hanya mengenali ibu bapanya.
Xuefei pula mengetuai pasukan tarian dengan 150 ahli dan tetap menari setiap hari bersama anaknya.
"Asalkan anak saya gembira, segala penat lelah ini berbaloi," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
