HATI ibu mana tidak hancur apabila melihat anaknya cedera atau sakit.
Prihatin terhadap keadaan anak perempuan yang cedera selepas latihan gimnastik berirama, seorang wanita bernama Antonina Yuri mengambil langkah untuk menghasilkan rekaan kasut sendiri.
Kata wanita berusia 48 tahun itu, dua anak kembar perempuannya, Sonya dan Sofya sangat aktif dalam sukan gimnastik sehingga terpaksa menahan kesakitan.

Antonina merupakan warga Kazakhstan yang berhijrah dan kini menetap di Malaysia. — The Star
"Walaupun mereka memakai kasut yang sesuai untuk berlatih tetapi, kaki mereka cedera teruk," katanya.
Berbekalkan ilmu dipelajari ketika melanjutkan pengajian Ijazah Reka Bentuk, Antonina mula bereksperimen dengan pelbagai fabrik dari rumahnya di Ipoh, Perak.
"Percubaan pertama saya agak pelik. Satu versi terlalu kaku, satu lagi terlalu licin.
"Saya terus melaraskan, menguji dan mencuba lagi," jelasnya.
Setiap percubaan membawanya lebih dekat untuk menyelesaikan masalah yang telah melanda bukan sahaja anak perempuannya, tetapi atlet gimnastik muda yang lain.
Reaksi anak perempuannya turut menjadikan setiap jahitan yang gagal berbaloi.
"Mereka sangat bangga. Mereka memanggilnya 'separuh kasut Mama' dan memakainya untuk latihan keesokan harinya," kata Antonina penuh kasih sayang.
Rekaan kasut yang dihasilkan hanya untuk menutupi separuh kaki iaitu di kesemua ibu jari itu sekali gus mencuri perhatian para jurulatih.

Antonina (tengah) bersama anak perempuannya Sofya (kiri) dan Sonya. — The Star
Maka bermulalah usaha Tonya Twins yang diberikan sempena gabungan namanya dan anak kembarnya.
Namun, ia bukanlah sekadar kasut, malah bertujuan melahirkan kanak-kanak yang sihat, yakin dan gembira ketika bersukan.
Dilahirkan di Kazakhstan, Antonina mula berpindah ke Malaysia pada 2005 selepas berkahwin dengan suaminya yang merupakan warga tempatan ketika bekerja sebagai pensyarah di Rusia.
Antonina juga pernah bertugas sebagai guru Bahasa Inggeris dan Rusia di Universiti Lim Kok Wing dan Sekolah Antarabangsa Mont Kiara serta Kedutaan Rusia dan Kazakhstan.
Kerjayanya bagaimanapun perlu dihentikan selepas melahirkan kembarnya dan menjadi suri rumah sepenuh masa.
Baginya, rasa tidak selesa kecil boleh menjadi isu lebih besar untuk anak perempuannya.
"Kaki atlet gimnastik adalah asas mereka. Setiap lompatan dan pendaratan bermula dari situ.
"Semasa zaman kanak-kanak, tulang dan ligamen masih terbentuk.
"Jadi, kasut separuh yang dipasang dengan salah boleh menyebabkan kesilapan dan kesakitan jangka panjang," jelasnya.
Justeru, Antonina menggalakkan ibu bapa untuk mengambil perhatian dan peka terhadap perubahan pada anak selepas melakukan sukan tersebut.
"Jika anda melihat kemerahan, lepuh atau mendengar mereka mengadu tentang kesakitan, jangan abaikan.
"Kasut separuh sepatutnya terasa seperti kulit kedua, selesa, tetapi tidak terlalu ketat.
"Apabila kanak-kanak berasa selamat dan disokong, mereka boleh melakukan dengan bebas.
"Keyakinan bukan hanya mental, tetapi fizikal. Apabila kaki gembira, semangat juga ada," ujarnya.
Bukan itu sahaja, maklum balas pengguna juga membuatkannya terus berusaha untuk menghasilkan kasut tersebut.
"Ada seorang gadis kecil pernah peluk saya dan berkata 'kaki saya tak sakit lagi'.
"Saya tidak akan melupakan detik itu," ucapnya. — The Star/MING TEOH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
