BERITA mengejutkan melibatkan isteri kepada pelakon kelahiran Singapura, Shah Iskandar baru-baru ini ternyata membuka mata masyarakat.
Menerusi perkongsiannya di Instagram, isterinya, Siti Sarah Mohd Noor terpaksa menggugurkan kandungannya berusia 16 minggu kerana bayinya disahkan menghidap Sindrom Edwards.
Sindrom yang juga dikenali sebagai Trisomi 18 itu merupakan sejeni gangguan kromosom jarang berlaku yang boleh mengancam nyawa ibu dan bayi.

Kandungan Siti Sarah terpaksa digugurkan selepas disahkan oleh doktor. — Instagram/Shah Iskandar
Menurut Shah, keputusan itu diterima dengan penuh reda selepas doktor mengesahkan terdapat lapisan tebal berukuran 4.8 sentimeter di belakang leher bayinya.
"Atas nasihat pakar, kandungan terpaksa digugurkan lebih awal kerana menunggu lebih lama boleh membahayakan keadaan isteri.
"Peluang bayi untuk terus hidup juga hanya sekitar lima peratus dan sekiranya lahir, jangka hayatnya dijangka tidak melebihi setahun walaupun dengan bantuan alat sokongan," katanya.
Ia merupakan kehamilan ketiga isterinya selepas mendirikan rumah tangga pada 2016.
Perkara tersebut bagaimanapun menjadi ilmu baharu buat para ibu bapa lain tentang risiko yang boleh dialami oleh bayi ketika dalam kandungan.
Menurut pakar perubatan, Dr Zubaidi Hj Ahmad, Sindrom Edwards berlaku apabila bayi mempunyai satu salinan tambahan kromosom ke-18.

Sindrom Edwards menyebabkan pelbagai gangguan di hampir keseluruhan organ dalaman bayi.
Ia sekali gus menyebabkan gangguan pertumbuhan dan kecacatan beberapa organ dalaman seperti jantung dan ginjal.
Menurutnya, pengguguran kebiasaannya hanya dibenarkan sebelum usia janin 120 hari jika kecacatan bayi disahkan pada tahap yang teruk dan tidak mampu dirawat serta izin ibu bapa.
Selepas tempoh itu, janin dianggap sudah bernyawa dan menggugurkannya disifatkan sebagai 'membunuh jiwa.
Namun, dalam kes berkenaan, ia dibolehkan kerana melibatkan ancaman nyawa.
Menurut Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS), haram menggugurkan kandungan janin yang berumur lebih 120 hari.
Ia kerana dianggap sebagai satu jenayah membunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu.

Menggugurkan janin sebelum usia 120 hari diharuskan sekiranya mengancam nyawa ibu. — Gambar hiasan
Manakala, pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang teruk dan boleh membahayakan nyawa ibu.
Keputusan itu selaras dengan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Ke-26 (1990) dan Ke-52 (2002).
JMNS turut menegaskan, pengesahan daripada doktor pakar Islam perlu dibuat sebelum keputusan pengguguran dilakukan.
Sekiranya kehamilan tidak menjejaskan nyawa ibu, tindakan menggugurkan janin dianggap haram dan berdosa besar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
