Pernah 'terduduk' lepas untung berjuta, pengasas Ayam Wak Akob bangkit semula demi ubati rindu pelanggan setia


  • Bisnes
  • Khamis, 06 Nov 2025

Jualan Ayam Wak Akob yang masih diteruskan secara tenang walaupun tidak memberi keuntungan besar.

 

DUNIA perniagaan bukanlah sekadar medan untuk mencari keuntungan atau bersaing membina nama besar.

Namun, ia juga melibatkan perjuangan, kekuatan dan ketabahan untuk bertahan ketika berdepan dengan ujian.

Bagi pengasas dan pemilik jenama Ayam Wak Akob, Safinas Abd Samad, perjalanan bisnesnya yang dahulunya gah turut dilanda ombak.

BACA LAGI: Bermula hanya guna mesin jahit nenek, pemuda bangunkan bisnes pakaian senaman bernilai lebih RM5 bilion

BACA LAGI: Dari manga ke anime, Osamu Tezuka sosok tunjang industri animasi di Jepun

Safinas memilih untuk menjalankan bisnes secara sederhana dan tenang.

Pernah berada di puncak kejayaan sebelum mengalami kejatuhan akibat konflik dalaman, Safinas kini memilih untuk menguruskan perniagaannya dengan lebih tenang dan sederhana.

Tiada lagi adrenalin mengalir untuk mengejar menjadi yang paling besar mahu pun tekanan menyaingi pengusaha lain.

Menjalankan operasi di sebuah kilang di Shah Alam, Selangor bersama pekerja tidak lebih daripada 10 orang, wanita berusia 45 tahun itu menguruskan bisnes kecil memproses, membersihkan dan mengeksport ayam mentah di seluruh Malaysia.

Ilham dari Syria

Segalanya bermula lebih sedekad lalu ketika dia dan suaminya berhijrah dan menetap di Syria sekitar 2008 hingga 2010.

"Masa duduk Syria dahulu, saya nampak ayam mentah yang mereka proses semua bersih.

"Bila kita masuk kedai proses di sana, mereka hanya jual ayam dan daging. Tanpa makanan lain dan sangat bersih, kemas, ayam pun dah siap potong.

"Zaman itu Malaysia masih belum ramai jual ayam mentah seperti itu, sebab di Syria mereka akan cuci sehingga bersih dan keringkan sebelum jual, jadi bila ditimbang tiada campuran berat air," katanya kepada Majoriti.

 

 

 

 

Maka, bermulalah perjalanan baharu buatnya dan suami selepas pulang semula ke tanah air pada 2012.

Kata ibu kepada empat orang anak itu, dia nekad untuk membuka perniagaan sendiri dengan bantuan suaminya.

Daripada mencuci, memotong dan membungkus dan menjual ayam mentah, semuanya dilakukan secara kecil-kecilan dari rumahnya.

Langkah awal yang diambil adalah dengan mempromosi dan menjualnya di sekitar kawasan kejiranan perumahannya.

"Lama-kelamaan kami buat rumah sembelih ayam sendiri berserta sijil halal.

"Waktu itu agak mencabar juga sebab kami perlu didik masyarakat tentang konsep ayam bersih tanpa klorin dan bebas suntikan hormon.

"Kami juga perlu terangkan kepada pelanggan kepentingan ayam sejuk beku sebab ramai fikir ayam segar lebih baik, tetapi tak tahu risikonya kalau tak disimpan dengan betul," jelasnya.

Kesemua ayam mentah dibersihkan sebelum dijual kepada pelanggan.

Langit tidak selalu cerah

Bisnes yang bermula secara kecil-kecilan itu akhirnya berjaya menembusi pasaran besar.

Masih segar diingatan ketika syarikatkanya pernah mencatat jualan berbelas juta ringgit dan tampil di pelbagai program televisyen.

Apakan daya, hidup berputar seperti roda.

"Selepas kami berada di tahap paling atas, muncul beberapa orang baharu dalam pengurusan.

"Disebabkan konflik dalam pengurusan syarikat, perniagaan kami jatuh," jelasnya.

Pada 2021, syarikat pertama mereka terpaksa ditutup.

Katanya, salah urus dalam pengurusan sekali gus menyebabkan banyak pesanan pelanggan tidak dapat dipenuhi dan reputasi syarikat terjejas.

Safinas mengakui bahawa, saat itu membuatkannya benar-benar hampir hilang semua semangatnya.

Namun, takdir ALLAH diatur lebih baik tanpa disangka.

Menurutnya, langkahnya sekarang untuk memulakan semula perniagaan adalah kerana pelanggan setia yang mula mencari semula produknya.

Antara pilihan potongan ayam mentah yang dipasarkan.

"Ramai yang rindu dan minta saya buat bisnes kembali.

"Atas dorongan beberapa stokis merangkap sahabat dan penyokong kuat, saya bangkit semula pada 2023.

"Tetapi, saya nak buat bisnes kali ini secara sederhana dan tenang meskipun tidak semegah dahulu.

"Saya dah tak kejar jadi nombor satu. Cukup kalau bisnes ini dapat bantu orang, beri rezeki pada staf dan saya boleh tidur nyenyak waktu malam," ujarnya.

Usahanya itu juga didorong oleh seorang daripada anaknya yang merupakan kanak-kanak autistik dan penghidap Gangguan Kecelaruan Tumpuan dan Kelasakan (ADHD).

"Anak saya ini antara sebab utama saya kekal dalam bisnes.

"Dia suka sangat makan ayam goreng, jadi di situ terselit rezekinya," katanya.

Kini Ayam Wak Akob mempunyai beberapa stokis beberapa buah negeri lain seperti Pulau Pinang, Melaka, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Pelanggannya juga boleh membeli beberapa bahagian ayam seperti kaki dan leher dengan serendah RM5 satu paket. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram