GURU pendidikan awal kanak-kanak dan personaliti televisyen terkenal di Amerika Syarikat (AS), Rachel Griffin Accurso meraih pujian ramai selepas tampil dengan rekaan gaun istimewa di majlis Glamour Woman of The Year Awards 2025, New York pada Selasa.
Rachel atau lebih dikenali sebagai Ms. Rachel itu mengenakan gaun yang disulam dengan hasil lukisan kanak-kanak di Gaza.
Gaun dengan gabungan warna hitam dan putih itu direka khas oleh penata gaya berpengalaman, Risa Kostis, dengan sulaman halus disediakan oleh L.W. Pearl Atelier serta dijahit kemas oleh pereka fesyen, Kaitlyn De La Cruz.

Gaun hitam putih dihiasi dengan lukisan kanak-kanak Gaza digayakan oleh Ms. Rachel. — Agensi
Keunikan busana itu terserlah apabila hujung kain yang labuh itu dihiasi lukisan berwarna-warni hasil tangan anak-anak Gaza, termasuk lakaran merpati, pemandangan dan simbol harapan.
Sepanjang melangkah di karpet merah, Ms. Rachel turut menyatakan satu persatu nama kanak-kanak yang menghasilkan lukisan tersebu.
Antaranya Ahmed, Luna dan Rama sambil meluahkan rasa bangga serta penghormatan kerana dapat menampilkan karya mereka di acara berprestij itu.
Tidak hanya bangga mengenakan busana itu, beliau turut membawa foto kanak-kanak berkenaan yang sedang memegang hasil seni mereka untuk ditunjukkan kepada dunia.
Pada masa sama, Ms. Rachel sempat menjelaskan makna di sebalik busananya.
"Malam ini saya memakai gaun yang memaparkan karya seni daripada kanak-kanak di Gaza.
"Mereka sangat luar biasa, penuh dengan idea dan kebijaksanaan.
"Saya mengenali nama, kisah mereka dan saya amat bangga dapat mengenakan hasil seni mereka," ucapnya.

Foto setiap kanak-kanak yang menghasilkan lukisan tersebut. — Agensi
Penampilannya turut dilengkapkan dengan solekan lembut sentuhan Stephanie Powers, dandanan rambut gaya ekor kuda oleh Rosa Van serta anting-anting minimalis rekaan House of Witty yang sekali gus menyerlahkan keseluruhan gaya elegan wanita berusia 43 tahun itu.
Sementara itu, Ms. Rachel merupakan antara penerima anugerah Glamour Women of the Year 2025.
Anugerah tersebut diberikan sebagai penghargaan dan pengiktirafan sumbangan wanita tersebut dalam pelbagai aspek termasuk budaya, politik dan sukan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
