Penangan konsep lengkungan kreativiti arkitek wanita, kafe Sihojae & Sicha menang reka bentuk terbaik di Korea Selatan


  • Hias
  • Rabu, 05 Nov 2025

Sihojae & Sicha, sebuah kafe reka bentuk memenangi anugerah interior terbaik dengan falsafah 'Lengkungan Waktu' yang menyatukan alam dan seni bina untuk ketenangan.

KETIKA melangkah keluar dari hiruk-pikuk bandar Daegu, Korea Selatan, terdapat sebuah destinasi yang menawarkan lebih daripada sekadar sajian kopi.

Ia adalah tempat ketenangan jiwa yang dibina daripada gabungan seni bina, alam semula jadi dan falsafah hidup.

Itulah tarikan unik dibawa oleh Sihojae & Sicha, sebuah kafe reka bentuk dan ruang budaya kompleks yang kini menjadi permata tersembunyi berhampiran Daegu.

BACA LAGI: Konsep 'Zen Moden' inspirasi Rossa renovasi rumah, 6 bulan siapkan syurga peribadi lengkap surau, salun dan spa

BACA LAGI: [VIDEO] Pengalaman jaga arwah ibu jadi 'kompas' bina rumah setingkat mesra keluarga, senang tolak kerusi roda

Kedamaian ditawarkan di kafe itu bukanlah secara kebetulan kerana ia lahir dari perancangan teliti seorang arkitek wanita terkemuka.

Ini sekali gus menjadikannya bukan sekadar premis komersial, tetapi sebuah karya seni yang merangkul anugerah reka bentuk interior terbaik di Korea.

Sihojae & Sicha dirancang oleh arkitek ternama, Ehwa Yoo, yang merupakan anak perempuan kepada mendiang arkitek ulung, Itami Jun.

Berpegang teguh pada warisan seni bina yang menghormati alam, Ehwa berjaya menyatukan sempadan antara dinding dan struktur bangunan sekali gus menghasilkan sebuah ruang penuh ketenangan.

Konsep utama di sebalik pembinaan itu adalah untuk mencipta pergerakan yang membolehkan pengunjung melepaskan kerumitan dunia dan menumpukan perhatian kepada ketenangan dalaman.

Kemenangan bagi dua tahun berturut untuk pelbagai kategori sejak 2024, konsep dan reka bentuk menonjolkan keharmonian antara seni bina serta alam semula jadi adalah kunci kepada pengiktirafan interior terbaik.

Karya Ehwa itu telah diiktiraf kerana kejayaannya dalam menukarkan ruang komersial menjadi ruang ketenangan penuh estetik.

Nama kafe itu sendiri membawa makna yang mendalam.

Sihojae diterjemahkan sebagai 'Lengkungan Waktu', merujuk kepada dua elemen penting: Ho yang bermaksud lengkungan, dan Si pula ialah waktu.

Konsep itu dihidupkan melalui reka bentuk seni bina yang sangat unik, iaitu penggunaan lengkungan melengkung yang mengelilingi taman kafe.

Lengkungan itu direka bentuk seolah-olah ‘masa membengkok dan mengalir perlahan’.

Fungsi lengkungan: Lengkungan itu bukan sahaja indah dipandang, malah berfungsi memeluk taman kafe sambil memberikan perasaan stabil dan selamat seolah-olah berada dalam dakapan alam semula jadi.

Ketenangan falsafah: Struktur melengkung itu diyakini mampu menghasilkan momen yang sunyi dan menumpukan perhatian untuk mengundang pengunjung menghayati irama reka bentuk Korea penuh kelembutan.

Keistimewaan itulah yang membezakan Sihojae & Sicha dengan kafe-kafe lain di seluruh Korea.

Ia bukan sekadar menghidangkan kopi, tetapi menyajikan pengalaman seni bina yang merangsang kelima-lima deria.

Setiap sudut dari dinding hingga ke taman, mencerminkan falsafah dan pengalaman hidup pemiliknya, menjadikan ia sebuah 'seni bina artistik' yang memiliki jiwa.

Bagi pencinta seni bina dan sesiapa sahaja yang mencari ketenangan emosi sambil menikmati seni dan keindahan alam, Sihojae & Sicha di pinggir Daegu adalah destinasi yang wajib dikunjungi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram