'Bunk bed' atau 'loft bed', mana satu paling bagus untuk jimat ruang bilik sempit?


  • Hias
  • Ahad, 02 Nov 2025

Katil Dua Tingkat dan Katil Loteng menawarkan penyelesaian yang berbeza, sama ada memaksimumkan ruang tidur atau mencipta ruang baharu serba guna untuk bilik kecil.

APABILA berhadapan dengan bilik kecil sama ada bilik anak di rumah atau ruang sewa yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Perabot yang anda pilih boleh menjadi penentu antara rasa sesak atau selesa di kediaman rumah.

Memandangkan katil sering mengambil sebahagian besar ruang lantai, penyelesaiannya tidak pernah menjadi mudah.

BACA LAGI: Sultan Pahang, Tunku Azizah lepas rindu jumpa anak angkat hidap sindrom Werewolf di Sarawak

BACA LAGI: Doktor wanita India pertama bergelar ahli bina badan profesional di Malaysia, suami jadi jurulatih

Bagi anda yang sedang keliru antara katil dua tingkat (bunk bed) dan katil loteng (loft bed), perbandingan mendalam akan membantu anda membuat keputusan yang bukan sahaja praktikal, tetapi juga berbaloi untuk jangka masa panjang.

Secara ringkasnya, katil dua tingkat adalah dua katil yang disusun bertindih secara menegak.

Ia biasanya didatangkan dengan tangga ringkas untuk mengakses ke katil atas.

Katil ini sangat sesuai jika anda perlu memaksimumkan ruang tidur kerana ia adalah penyelesaian ideal untuk bilik tidur kanak-kanak untuk dikongsi oleh adik-beradik lain atau anda mahukan katil tambahan untuk kawan-kawan yang bermalam.

Dengan katil dua tingkat, anda tidak perlu mengorbankan ruang lantai bilik bermain anak-anak.

Walaupun harganya mungkin sedikit lebih rendah pada peringkat awal berbanding katil loteng yang lebih kompleks, fungsi utamanya adalah bagus untuk menawarkan dua ruang tidur dalam satu jejak lantai, menjadikannya terbaik untuk bilik berbentuk segi empat tepat.

Katil loteng juga merupakan kerangka katil yang dinaikkan, sama seperti katil dua tingkat.

Namun, perbezaan ketaranya ialah tiada katil di bahagian bawah.

Ruang kosong di bawah katil loteng itu adalah aset sebenar kerana ruang tersebut membolehkan anda mencipta kawasan berfungsi sepenuhnya, seperti tempat belajar lengkap dengan meja dan rak buku, ruang penyimpanan yang besar atau kawasan peribadi.

Ini sangat sesuai untuk seorang anak atau remaja yang memerlukan ruang belajar dan privasi.

Fleksibiliti reka bentuk modular membolehkan anda menyesuaikan fungsi ruang di bawah katil mengikut perkembangan keperluan anak anda, menjadikannya pilihan lebih baik untuk konsep kehidupan padat.

Dari segi ruang penyimpanan, katil dua tingkat biasanya terhad kepada laci di bawah katil bawah atau ruang 'storage' kecil terbina.

Sebaliknya, katil loteng menawarkan penyelesaian yang lebih komprehensif seperti rak buku dan almari pakaian penuh di bawahnya.

Ini kerana perbezaan ruang penyimpanan serta modul itu, walaupun katil loteng mungkin lebih mahal di awal pembelian, ia lebih fleksibel dan mempunyai jangka hayat yang lebih panjang kerana ruang bawahnya boleh diubah suai dari ruang bermain kepada ruang kerja seiring dengan anak yang membesar.

Dalam apa jua pilihan, keselamatan harus diutamakan.

Kedua-dua jenis katil itu memerlukan palang penghadang keselamatan yang kukuh dan tangga yang stabil.

Anda juga perlu sentiasa mengukur ketinggian siling kerana anda memerlukan ruang kepala mencukupi untuk sesiapa yang tidur di atas katil loteng atau katil dua tingkat.

Akhirnya, jika anda mempunyai dua orang anak atau lebih untuk berkongsi bilik, katil dua tingkat adalah jawapan yang jelas dan efisien untuk memaksimumkan ruang tidur secara menegak.

Sebaliknya, jika anda mempunyai seorang anak atau remaja yang memerlukan ruang khusus untuk belajar dan bersiap, katil loteng adalah pelaburan lebih bijak.

Ia menggabungkan tiga zon penting iaitu tidur, belajar dan ruang penyimpanan dalam satu lantai, menjadikan bilik kecil kelihatan lebih teratur serta luas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram