Konsep 'Zen Moden' inspirasi Rossa renovasi rumah, 6 bulan siapkan syurga peribadi lengkap surau, salun dan spa


  • Hias
  • Isnin, 03 Nov 2025

Rossa berjaya mengubah suai rumahnya menjadi kediaman moden berkonsepkan 'Zen Moden'. — Instagram/itsrossa910

PENYANYI legenda Indonesia, Rossa, sedang dalam fasa akhir renovasi rumahnya yang membuktikan bahawa kemewahan sejati terletak pada keseimbangan rohani, fizikal dan reka bentuk penuh menenangkan jiwa.

Menerusi siri perkongsian di media sosial, kediaman Rossa jelas mengetengahkan konsep 'Zen Moden' dengan sentuhan 'hospitality' yang eksklusif.

Ia seolah-olah membawa suasana vila percutian yang mewah ke dalam kediaman peribadi.

BACA LAGI: Nyaris lesap RM900 akibat transaksi 'hantu', wanita kongsi cara cepat dapat duit semula

BACA LAGI: Sultan Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra sambut ulang tahun perkahwinan ke-15 penuh privasi

Fokus utama renovasi itu, khusus di bahagian belakang rumah telah memakan masa lebih enam bulan.

Kini ia telah bertukar wajah sepenuhnya daripada ruang biasa kepada sebuah 'ruang kesejahteraan peribadi' serba lengkap, merangkumi pelbagai fungsi yang bersatu dalam reka bentuk kontemporari.

Rossa sememangnya mementingkan gaya hidup sihat dan rapi, kerana sifat itu diterjemahkan menerusi pembinaan kemudahan yang jarang ditemui di kebanyakan rumah.

Ruang gim mini Rossa direka dengan konsep terbuka, dikelilingi cermin dan dinding kaca sepenuhnya, membolehkan beliau bersenam sambil menikmati pemandangan terus ke arah kolam renang.

Reka bentuk siling yang menggunakan panel kayu berjalur memperkukuhkan konsep moden dan sejuk, menjadikannya ruang yang selesa untuk bersukan.

Elemen kerohanian turut diangkat tinggi melalui pembinaan surau kecil.

Walaupun terhad, ruang itu menampilkan lantai kayu cerah dan dinding berwarna lembut, diserikan dengan bingkai ukiran kaligrafi yang kemas.

Penggunaan pintu pivot dengan rekaan minimalis menambahkan sentuhan kontemporari pada pintu masuk ke surau.

Memandangkan beliau jarang keluar, Rossa telah mencipta ruang salun peribadi di tandas rumahnya.

Ruangan yang menenangkan itu dilengkapi dengan kerusi selesa berserta tempat membasuh rambut, dengan reka bentuk dalaman yang menggunakan panel kayu menegak dan pencahayaan tersembunyi penuh kehangatan.

Ini sekali gus membangkitkan suasana spa mewah sambil Rossa turut berkongsi, beliau menggunakan ruang mandian stim selepas bersenam pagi.

Konsep reka bentuk luaran Rossa pula mengutamakan penggunaan bahan semula jadi seperti kayu dan batu yang digabungkan dengan elemen air menenangkan.

Kolam renang baharu yang jernih dan luas disempurnakan dengan dinding luar rumah bertekstur kasar berwarna putih gading.

Ini mencipta kontras yang menarik dengan kehijauan taman tropika, termasuk pokok-pokok renek yang subur, memberikan ilusi Bali Moden.

Kawasan santai dan tempat makan terbuka di tepi kolam dihiasi dengan lantai kayu gelap, padanan perabot rotan dan bantal hiasan berwarna hijau dan putih, menjadikan ruang itu amat sesuai untuk melayan tetamu atau sahabat.

Rekaan siling yang menggunakan kayu gelap turut memberikan sentuhan 'resort' mewah.

Bahagian rumah yang menghadap kolam pula menggunakan dinding kaca gelap, mencerminkan pemandangan luar dan sekali gus meningkatkan rasa privasi sambil mengekalkan hubungan visual dengan kawasan taman bawah.

Rossa turut merakamkan penghargaan kepada pasukan yang terlibat dalam menjayakan projek mega tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram