TINDAKAN pantas seorang pengguna media sosial, Nisa Fana, telah menyelamatkan wangnya daripada lesap hampir RM900 selepas akaun bank miliknya melakukan dua transaksi misteri dalam tempoh beberapa minit sahaja.
Menerusi perkongsian yang tular di Threads, Nisa menceritakan semula pengalaman cemasnya berhadapan dengan penipuan tersebut.
Nisa juga sempat berkongsi langkah demi langkah yang berjaya membantunya mendapatkan semula kesemua wang meskipun selepas dua bulan lebih menunggu.
BACA LAGI: 'Bunk bed' atau 'loft bed', mana satu paling bagus untuk jimat ruang bilik sempit?
BACA LAGI: Sultan Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra sambut ulang tahun perkahwinan ke-15 penuh privasi
Pengalamannya turut disokong oleh pengguna lain yang pernah berhadapan situasi serupa, menegaskan pentingnya tindakan segera dan menghubungi talian kecemasan.
Nisa berkongsi detik-detik cemas apabila wang dalam akaun bank ditolak tanpa pengetahuan, bermula dengan jumlah kecil sebelum diikuti oleh yang lebih besar.
"Saya hampir hilang RM900 dekat Maybank disebabkan dua transaksi ini tapi bukan saya buat dan dapat balik duit itu semula. Apa saya buat masa itu? Saya kongsi dekat sini (Threads). Mula-mula tolak lebih RM50 beberapa minit kemudian tolak lagi lebih RM800."
Tindakan pertama Nisa adalah memindahkan semua baki wang ke bank lain bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar, sebelum beliau menghubungi pihk bank untuk membatalkan kad.
Proses mendapatkan kembali wang itu memerlukan kesabaran dan 'follow-up' berterusan selepas membuat pemindahan kecemasan.
Selepas menghubungi bank untuk menyekat kad, dia diminta untuk membuat kad baharu dan mengisi 'Dispute Form'.
Wang bagi transaksi pertama (lebih RM50) dimasukkan semula selepas 16 hari.
Namun, jumlah terbesar (lebih RM800) masih tertunggak, namun Nisa sentiasa membuat 'follow up' setiap dua minggu melalui panggilan bank dan akhirnya baki lebih RM800 berjaya dikembalikan selepas tempoh dua bulan menunggu.
Beliau merumuskan langkah penting yang perlu dilakukan mangsa adalah memindahkan wang ke bank lain sambil menghubungi bank untuk sekat kad serta membuat kad baharu.
Nisa turut menekankan sentiasa membuat 'follow up' untuk mendapatkan wang pulangan meskipun perlu menunggu sehingga dua bulan.
Perkongsian Nisa turut menarik perhatian ramai pengguna yang berkongsi tips dan pandangan mereka.
Muhammad Syafique Aziz menasihatkan mangsa untuk terus menghubungi NSRC 997 untuk tindakan pantas menyekat kad dan transaksi atas talian, kerana menghubungi khidmat pelanggan bank biasa mungkin mengambil masa yang lebih lama.
Turut memberi amaran, Ryan mengingatkan bahawa kad debit sememangnya berisiko tinggi terutamanya jika pernah digunakan di laman web mencurigakan, yang mana maklumat kad mungkin dibocorkan atau digodam, justeru lebih baik membatalkan kad dan meminta kad baharu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
