BAYANGKAN anda sendiri menyaksikan kediaman yang dibina dengan titik peluh dan harapan, roboh menyembah bumi akibat bencana alam seperti tanah runtuh atau banjir besar.
Selepas debu bencana reda, di tengah-tengah timbunan kepingan simen dan memori yang musnah, terbit satu soalan menjadi mimpi ngeri kewangan.
"Jika rumah sudah tiada, adakah hutang bank masih kekal?"
Bagi kebanyakan pemilik rumah, jawapan yang sering mereka sangka adalah 'tidak'.
Namun, penjelasan daripada ejen hartanah, Azlan Nizam, baru-baru ini di Facebook membuka mata ramai tentang realiti perundangan pemilikan rumah.
Beliau mengesahkan jawapan yang sangat menakutkan: Ya, pinjaman perumahan tetap wajib dilunaskan, meskipun struktur fizikal rumah sudah lenyap sepenuhnya.
Perkongsian itu bukan sekadar teori, tetapi kes yang pernah berlaku di Malaysia.
Azlan turut menuntut setiap pemilik rumah menyemak kembali perlindungan kewangan masing-masing sebelum terlambat.

Tragedi Highland Towers membuktikan pemilikan kekal pada kita namun tanggungjawab hutang tidak runtuh bersama bangunan.
Beliau menjelaskan, kekeliruan itu timbul kerana ramai pemilik rumah beranggapan bank adalah pemilik hartanah mereka sehingga pinjaman selesai.
Hakikatnya, sebaik sahaja tandatangan perjanjian jual-beli dimeterai dan bank menyalurkan dana pinjaman, rumah itu secara undang-undang adalah milik peminjam sepenuhnya.
"Bank bukannya pemilik rumah, bank cuma pemberi dana. Jadi walaupun rumah musnah akibat banjir, tanah runtuh atau kebakaran, tanggungjawab bayar pinjaman tetap kekal," tegas Azlan.
Kebenaran pahit itu bukanlah teori semata-mata, malah pernah disaksikan dalam tragedi sebenar yang menggegarkan negara.
Azlan merujuk kepada insiden Highland Towers pada 1993 selepas Blok 1 pangsapuri itu runtuh meragut 48 nyawa, ramai pemilik bukan sahaja berhadapan kehilangan ahli keluarga dan harta, tetapi terbeban dengan kewajipan melunaskan pinjaman perumahan.
Meskipun usaha tuntutan pampasan dilakukan terhadap pemaju dan pihak berkuasa, proses perundangan memakan masa bertahun-tahun serta jumlah pampasan yang kecil tidak membatalkan kontrak pinjaman bank.

Banjir Sri Muda menjadi saksi bahawa bantuan kewangan bukan bermakna hutang terhapus.
Isu itu kembali hangat diperkatakan selepas bencana banjir besar yang melanda Taman Sri Muda, Shah Alam pada Disember 2021.
Walaupun tiada rumah yang runtuh sepenuhnya, kerosakan teruk dialami memaksa pemilik membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk pembaikan, malah ada yang menjual hartanah mereka dengan harga sangat rendah.
Walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan bantuan moratorium dan penjadualan semula pinjaman ketika itu, Azlan mengingatkan bahawa bantuan tersebut hanyalah penangguhan bayaran.
"Bantuan itu hanya tangguh bayaran, bukan hapus hutang," katanya, menekankan bahawa beban pinjaman masih kekal.
Dalam musibah itu, ramai pemilik baru menyedari bahawa polisi insurans asas kebakaran yang mereka miliki tidak melindungi bencana alam seperti banjir.
Lima langkah perlindungan kewangan dan hartanah
Bagi mengelakkan tragedi kewangan itu berulang, Azlan menggariskan lima langkah proaktif perlu diambil oleh setiap pemilik rumah:
1. Semak polisi insurans rumah: Polisi asas hanya melindungi kebakaran dan ribut. Tambahkan Perlindungan Khas bagi meliputi banjir, tanah runtuh, gempa bumi dan pergerakan tanah.
2. Ambil MRTA atau MLTA: Dapatkan Perlindungan Gadai Janji Bertempoh (MRTA) atau Insurans Gadai Janji Bertempoh Hayat (MLTA). Ini memastikan hutang pinjaman perumahan diselesaikan sekiranya pemilik meninggal dunia atau hilang upaya kekal, walaupun ia tidak membaiki kerosakan rumah.
3. Audit insurans strata: Bagi pemilik kediaman strata, semak dengan Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) untuk memastikan polisi insurans bangunan yang diambil meliputi tambahan perlindungan bencana yang mencukupi, bukan hanya minimum.
4. Sediakan tabung kecemasan: Sediakan simpanan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan bayaran pinjaman sebagai penampan kewangan ketika bencana melanda dan moratorium tamat.
5. Ambil langkah pencegahan: Lakukan pemeriksaan struktur berkala oleh jurutera bertauliah, terutamanya jika rumah terletak di kawasan berisiko, untuk membolehkan tindakan undang-undang menuntut pampasan dapat diambil jika terdapat bukti kecuaian pihak pemaju.
Pemilikan rumah bukan hanya melibatkan proses serah kunci dan bayaran ansuran, tetapi juga tanggungjawab besar untuk melindungi kestabilan kewangan keluarga.
Apabila rumah rosak atau runtuh yang terjejas bukan hanya struktur fizikal, tetapi juga rasa aman dan kestabilan kewangan dibina bertahun-tahun lamanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
