PENGALAMAN hidup seringkali menjadi kompas dalam membentuk keputusan besar, apatah lagi ia melibatkan pembinaan sebuah kediaman.
Bagi pemilik Instagram Rumahku Nadiku, proses mencipta reka bentuk rumah impian bukan sekadar menyusun atur ruang, tetapi manifestasi kasih sayang.
Ini terutamanya apabila pengalaman menjaga arwah ibunda tercinta menjadi rujukan membina rumah baharu.
Menerusi perkongsian video Rumahku Nadiku di media sosial, terungkai bahawa reka bentuk dan susun atur rumah yang dibinanya banyak dipengaruhi oleh pengalaman ketika menjaga arwah ibunya yang sakit.
"Sebenarnya, pengalaman jaga arwah mak sakit dulu banyak mempengaruhi layout rumah ini," luahnya.
Idea utama reka bentuk rumah itu adalah konsep mesra pergerakan yang dilihat sebagai satu keperluan berbanding kemewahan.
Rumahku Nadiku memberitahu, memilih untuk membina rumah satu tingkat sahaja.
"Rumah satu tingkat sahaja untuk memudahkan pergerakan kerusi roda. Boleh tengok keadaan dan aktiviti semua tempat," jelasnya lagi.
Pilihan itu bukan sahaja memudahkan pergerakan bagi pengguna kerusi roda, malah menawarkan visual yang luas ke seluruh ruang kediaman.
Ini juga membolehkan penghuni atau penjaga memantau keadaan serta aktiviti di setiap sudut dengan mudah.
Selain itu, aspek kebolehcapaian itu turut ditekankan pada ruang peribadi yang penting.
"Toilet luas muat untuk kerusi roda juga," tambahnya.
Selain aspek fungsional di dalam rumah, konsep halaman juga dirancang dengan penuh teliti.
Laman rumah diletakkan di bahagian belakang kediaman bagi menitikberatkan privasi penghuni rumah.
"Laman rumah berada di belakang untuk privacy supaya boleh sunning dan grounding dengan tenang," kongsinya.
Pendekatan itu membolehkan beliau dan keluarga menikmati aktiviti santai seperti berjemur dan menghubungkan diri dengan alam semula jadi tanpa perlu risau diperhatikan orang luar.
Ruang itu juga dihiasi dengan kehijauan menjadikannya satu oasis peribadi mendamaikan.
Elemen paling menyentuh hati dalam perkongsian Rumahku Nadiku adalah bonus yang tidak ternilai iaitu hubungan kekeluargaan.
"Bonus, berjiran dengan kakak supaya sentiasa ada yang menjaga," katanya.
Keputusan untuk berjiran dengan ahli keluarga terdekat, dalam konteks itu kakaknya, memberikan satu sokongan dan keselamatan yang berterusan.
Ini bukan sahaja memastikan ada mata memerhati dan tangan yang membantu pada bila-bila masa, tetapi juga mengukuhkan ikatan kekeluargaan dalam komuniti kecil mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
