NAMA Megat Mat Akhir atau lebih senang disapa Megat Tan tidak asing lagi dalam dunia andaman.
Pemilik butik pengantin Nur Anggun Bridal di Taiping, Perak itu juga kembali mencuri perhatian ramai apabila sentiasa tampil dengan gaya profesional.
Selain mempamerkan karisma tersendiri, hasil sentuhan halusnya terhadap pengantin lelaki turut memikat hati ramai.
BACA LAGI: Jangan sampai ‘mengemis’, pengantin moden letak kod QR atas meja tetamu, hilang tradisi salam 'kaut'
Menerusi video dikongsikan di akaun Threadsnya baru-baru ini, jurusolek lelaki berusia 57 tahun itu segak berbaju Melayu merah jambu dilihat sedang membeli-belah di kedai kosmetik terkenal, Sephora.
Menurutnya, ia merupakan aktiviti biasa dilakukan untuk menambah stok produk kosmetik usai menyiapkan solekan pelanggan.
Lebih tiga dekad berkecimpung dalam bidang kecantikan, Megat Tan disifatkan sebagai 'pak andam' sejati kerana tidak berlebihan dalam bergaya atau menyerupai wanita.
Rata-rata warga maya juga tidak lekang memuji caranya memilih produk-produk berkualiti demi kepuasan pelanggan.
"Wah, bukan biasa-biasa produk yang pak cik guna," komen @liana_hxhx.
"Pak andam patutnya begini. Kemas dan segak. Tak perlu pakai maskara atau sebagainya, tetap nampak pak andam," tambah @fasi_hah.
Keunikan gaya Megat Tan justeru membuktikan bahawa bidang andaman bukan hanya didominasi oleh wanita.
Malah, dengan pengalaman dan dedikasi, sentuhan solekan lelaki juga mampu menyerlahkan seri pengantin dengan penuh anggun dan beradab. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
