SETIAP pasangan pasti mempunyai kisah percintaan tersendiri.
Begitu juga dengan pelakon, Meor Mohd yang berkesempatan berkongsi perjalanan sepanjang mendirikan rumah tangga dengan isterinya, Nur Najiah Jasni.
Menerusi hantaran dimuat naik di akaun Threadsnya baru-baru ini, pemilik nama Meor Mohd Afif Meor Mohd Affand, 34, itu mengimbau kembali kenangan manis bersama isterinya sebelum disatukan.
BACA LAGI: Jangan sampai ‘mengemis’, pengantin moden letak kod QR atas meja tetamu, hilang tradisi salam 'kaut'

Meor dan isterinya melayari bahtera perkahwinan selama 10 tahun. — Instagram/Meor Mohd
Menurutnya, dia dan isteri tidak mengambil masa terlalu lama untuk bercinta ketika itu.
"Kali pertama jumpa pada 6 April 2013, dia sombong tak banyak cakap, kita tanya sepatah dia jawab sepatah.
"Taaruf dengan isteri pun tengok kad pengenalan sahaja. Kemudian dia kata kita tak boleh jumpa, kalau nak juga kena 'ikat'.
"Jadi, tiga bulan kemudian aku pun 'ikat' dia ketika ulang tahun aku pada 16 Jun 2013," katanya.
Sepanjang tempoh pertunangan, pasangan itu juga jarang berhubung apatah lagi keluar bersama.
Namun, Meor menganggap itu semua sebagai ujian yang perlu ditempuhinya untuk menghalalkan seorang wanita.
"Masa itu kerja aku boleh kira dengan jari, tetapi lepas bertunang rezeki semakin murah.
"Tawaran penggambaran datang tanpa henti sampai sekarang. Kuasa ALLAH," kata pelakon drama bersiri Tanah Kubur itu.
Pasangan tersebut akhirnya disatukan sebagai suami isteri pada 30 Mei 2014 dan memilih Langkawi, Kedah sebagai destinasi berbulan madu.
Kata bapa kepada tiga orang anak itu, pada masa sama mendedahkan bahawa kehidupannya selepas berkahwin banyak mengajarnya erti cinta sebenar dan penerimaan tanpa syarat.
"Sebelum kahwin dengan isteri, aku dah ada ramai bekas kekasih.
"Tetapi, isteri ajar aku sesuatu yang tak pernah aku dapat sebelum ini dan dia terima aku seadanya," jelasnya.
Lebih menyentuh hati, isterinya turut pernah mengizinkan dia untuk bernikah lagi sekiranya merasa kekurangan dalam dirinya.
Namun, kata-kata itu membuatkan dia semakin menghargai kesungguhan isterinya.
"Bila isteri sendiri cakap macam itu, automatik aku terus terkesima dan tak rasa nak buat semua itu.
"Pada aku, buat apa nak dua, tiga, empat kalau yang satu ini dah buat aku bahagia," ujarnya.
Selepas sedekad melayari bahtera perkahwinan, Meor meluahkan rasa syukur atas rumah tangga yang dibina bersama wanita yang banyak membimbing dan memahami dirinya.
"Alhamdulillah, 10 tahun dan masih bertahan. Terima kasih kepada semua yang mendoakan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
