Ahli keluarga pengantin berang hari majlis hanya kerana pelekat karpet, pihak katering teruk dipersalahkan


  • Cinta
  • Selasa, 04 Nov 2025

Pengalaman pahit staf katering ketika menyiapkan tempahan katering di sebuah majli perkahwinan baru-baru ini. — Gambar hiasan/AI

BEKERJA dalam industri perkhidmatan seperti penyedia makanan bukanlah sekadar pelengkap majlis, tetapi juga memerlukan kesabaran yang tinggi untuk berdepan dengan pelbagai ragam manusia.

Sama seperti dihadapi oleh seorang staf penyedia khidmat katering di majlis perkahwinan baru-baru ini.

Berdasarkan perkongsian di akaun Threads @amrulandco, hari bahagia yang seharusnya diraikan dengan kegembiraan bagaimanapun menjadi pengalaman pahit baginya di sebuah majlis berlangsung pada Sabtu lalu.

BACA LAGI: Dulu bapa sanggup buat pemukul guna sisa kayu, kini bangga anak perempuan julang juara Piala Dunia Kriket Wanita

BACA LAGI: Sempoi berbaju Melayu, gelagat pak andam Megat Tan beli alat solek di Sephora curi perhatian

Selain memastikan setiap makanan mencukupi, pihak katering juga perlu berdepan dengan pelbagai ragam ahli keluarga pengantin. — Gambar hiasan/AI

Menurutnya, situasi tegang itu mula berlaku apabila seorang daripada ahli keluarga pengantin memarahinya selepas melihat karpet tidak rata dan sedikit terbuka di laluan tetamu.

Lebih menambah berang apabila, individu tersebut dikatakan hanyalah menantu kepada tuan rumah dan tidak menguruskan sepenuhnya persiapan majlis.

"Dia datang ke arah aku dengan muka lagak seorang majikan narsisis yang tak puas hati bila tengok ada staf mengular di tempat kerja.

"Langsung tak mesra dan terus cakap 'abang sini sekejap, tengok karpet itu'.

"Dia tunjuk bahagian pangkal karpet ditindih kaki tiang pintu gerbang yang tak dilekat ke lantai.

"Dia sambung cakap 'abang tengok karpet ini. Abang boleh lekatkan tak? Bahaya, jemputan boleh tersadung begini. Abang pasang pelekat sekarang'.

"Mimik mukanya ketika bercakap adalah seperti mengarah dan bukan minta tolong," ceritanya.

Selepas mendengar masalah tersebut, beliau segera mengarahkan staf lain untuk membeli pita pelekat di kedai berhampiran.

Namun, disebabkan kawasan dewan sedikit jauh dari pekan menyebabkan urusan itu mengambil masa.

Katanya, sepanjang tempoh menunggu staf berkenaan membeli pelekat, ahli keluarga terlibat tidak henti bertanya dan mendesaknya untuk segera membaiki karpet tersebut.

"Sementara tunggu pulang dari kedai dia datang lagi sambil marah dan kata ada jemputan yang sudah tersadung.

"Saya pun terangkan pelekat sedang dibeli, tetapi dia masih nampak tidak puas hati," jelasnya.

Lebih mengecewakan, individu berkenaan turut mempersoalkan pihak andaman yang tidak hadir dan menggelarkan pihak katering 'teruk' semata kerana isu karpet tersebut.

"Sudah 11 tahun saya kerja katering dan jumpa pelbagai ragam manusia.

"Tetapi jarang orang marah sebab benda sekecil itu. Selalunya keluarga pengantin akan bantu, bukan menyalahkan," luahnya.

Menurutnya, selepas pita pelekat dipasang dan keadaan kembali terkawal, lelaki berkenaan menghilangkan diri sebelum muncul semula pada waktu petang tanpa sebarang kata-kata.

Tidak menyalahkan tuan rumah yang bersikap prihatin dan baik, namun, insiden kecil tersebut tetap meninggalkan kesan terhadapnya dan seluruh staf terlibat.

"Dia bising tentang hal remeh yang sepatutnya boleh diselesaikan sendiri sebelum majlis bermula, tetapi enggan sebab nak tunjuk ada kuasa.

"Walhal tiada kaitan langsung dengan katering, saya rasa sangat terhina," ujarnya.

Keadaan setelah itu bagaimanapun berjaya dikawal dan kesemua staf katering dihadiahkan beg cendera mata majlis oleh tuan rumah sebagai penghargaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram