TINDAKAN tidak bertanggungjawab sebilangan ahli keluarga yang dikesan menyalahgunakan kemudahan hospital sebagai "pusat penjagaan sementara warga emas" telah mencetuskan perdebatan hangat.
Ini apabila seorang doktor meluahkan kekecewaannya di media sosial baru-baru ini.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads, doktor tersebut menyelar keras sikap sesetengah individu yang sengaja 'mencampakkan ibu bapa warga emas mereka ke wad hospital.
BACA LAGI: Sultan Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra sambut ulang tahun perkahwinan ke-15 penuh privasi
Tambah parah itu bukan kerana sakit tenat, tetapi semata-mata untuk membolehkan mereka bebas bergerak dan berjalan tanpa perlu memikul tanggungjawab menjaga orang tua.
Doktor itu meluahkan rasa terkilan kerana kakitangan perubatan kini secara tidak adil terpaksa memainkan peranan sebagai penjaga kepada pesakit warga emas yang sepatutnya dijaga oleh ahli keluarga sendiri.
Menurut doktor itu, tingkah laku tersebut didakwa telah menjadi perkara biasa.
Lebih mengejutkan, terdapat ahli keluarga yang bertegas meminta agar ibu bapa mereka terus dimasukkan ke dalam wad, walaupun pesakit tersebut disahkan sihat dan layak untuk discaj dari segi perubatan.
Beliau turut berkongsi detik-detik yang mana anak-anak pesakit dengan selamba bertanya sama ada ibu bapa mereka boleh "tinggal beberapa hari lagi," seolah-olah hospital itu adalah hotel.
Bagi doktor tersebut, permintaan sebegini bukan sahaja tidak sesuai, tetapi membimbangkan kerana ia menunjukkan sejauh mana sesetengah pihak telah melepaskan diri daripada tanggungjawab.
Doktor itu turut menegaskan bahawa isu utama di sini bukanlah terletak pada kesukaran menguruskan pesakit yang uzur.
Sebaliknya, ia adalah mengenai ahli keluarga yang cuba mengelak tanggungjawab mereka dengan menggunakan hospital sebagai tempat simpanan.
Beliau mengingatkan orang ramai bahawa hospital wujud untuk menyelamatkan nyawa dan bukannya menyediakan jalan keluar bagi mereka yang tidak sanggup menjaga ibu bapa yang semakin dimamah usia.
Hantaran doktor itu tular dan menarik perhatian ramai terutamanya kakitangan kesihatan serta pengguna yang mendakwa turut melihat situasi sama.
Seorang pengguna lain mengulas: "Percaya atau tidak, memang ada orang buat macam ini. Terutamanya musim perayaan. Ibu bapa yang sakit lama dicampak di hospital sebab anak-anak tak nak jaga dan nak pergi beraya. Kalau badan dah berlubang sebab 'bedsore' memanglah kena 'admit', tapi bila dah sedia untuk 'discharge' dan staf telefon suruh ambil, tiba-tiba semua senyap tak jawab panggilan."
Komen-komen yang menyokong itu memperkuatkan dakwaan bahawa trend mencampak warga emas itu telah menjadi masalah yang serius dalam sistem penjagaan kesihatan awam negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
