KES keganasan rumah tangga kini bukan lagi tertumpu kepada kaum wanita semata-mata.
Malah, golongan lelaki juga berisiko menjadi mangsa penderaan fizikal, emosi dan mental terutama dalam hubungan rumah tangga.
Seperti dinyatakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad baru-baru ini, sebanyak 1,183 kes keganasan rumah tangga melibatkan mangsa lelaki direkodkan di seluruh negara hingga Julai 2025.
BACA LAGI: Sisa jadi sukses, wanita Sabah jana untung guna batang pokok pisang jadi kraf tangan
Beliau berkata, angka tersebut menunjukkan trend peningkatan berbanding 2024.
Menurutnya, sebanyak 1,778 kes mangsa lelaki direkodkan pada 2022.
"Jumlah tersebut bagaimanapun menurun kepada 1,213 kes pada 2023.
"Namun, kes meningkat semula kepada 1,865 pada 2024 sehingga 2025," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi di Dewan Rakyat.
Beliau menambah bahawa kerajaan komited dalam menangani isu tersebut menerusi pelbagai inisiatif strategik di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), selaras dengan fokus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).
Antara usaha utama adalah pelaksanaan Program Lelaki Budiman Negara yang merangkumi pembangunan dan pelaksanaan modul pendidikan khusus untuk memperkasa peranan lelaki sebagai suami, bapa dan anggota masyarakat yang bertanggungjawab.
"LPPKN turut memperkukuh pendekatan outreach melalui sesi kaunseling di mana mangsa boleh memilih kaunselor lelaki atau perempuan mengikut keselesaan bagi memastikan proses interaksi lebih berkesan," jelasnya.
Dr. Noraini turut menegaskan bahawa kempen kesedaran berkaitan keganasan rumah tangga bersifat inklusif dan menekankan bahawa penderaan bukan isu yang hanya menimpa wanita.
Selain inisiatif LPPKN, beliau turut memberi beberapa langkah lain yang boleh diambil oleh mangsa termasuk golongan lelaki.
"Talian Kasih 15999 disediakan bagi membolehkan mangsa termasuk lelaki, mendapatkan sokongan, khidmat nasihat dan bantuan segera.
"Mereka juga boleh menghubungi pejabat kebajikan masyarakat terdekat atau mendapatkan khidmat kaunseling menerusi LPPKN," tambahnya.
Beliau pada masa sama menyeru agar masyarakat lebih terbuka dalam membincangkan isu penderaan tidak kira wanita atau lelaki dan menghapuskan stigma yang menghalang mangsa daripada tampil mendapatkan bantuan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
