MENJAGA anak istimewa bukanlah sekadar soal kasih sayang dan pengorbanan, malah memerlukan ilmu yang tepat ketika berdepan dengan detik genting.
Begitulah dihadapi oleh seorang bapa tunggal, Muhammad Yassir Hakimi berkongsi momen cemas apabila anak lelakinya, penghidap Cerebral Palsy (CP), Muhammad Noah Yusuff mengalami serangan sawan baru-baru ini.
Berdasarkan video dimuat naiknya di hantaran Instagram, Muhammad Noah atau lebih senang disapa Yusuff itu diserang sawan secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda selepas terkena jangkitan Influenza.
BACA LAGI: Jangan sampai ‘mengemis’, pengantin moden letak kod QR atas meja tetamu, hilang tradisi salam 'kaut'
Lebih mencemaskan apabila ia merupakan serangan sawan paling agresif pernah dilalui berbanding sebelum ini.
"Tujuh kali sebelum ini, sawan Yusuff biasanya berlangsung bawah lima minit.
"Tak perlu ke hospital, hanya perlu mengiringkan badan seperti biasa.
"Tetapi kali ini lain, dia sedar tetapi, keadaannya semakin berubah setiap minit," katanya.
Muhammad Yassir turut menjelaskan beberapa tanda awal yang perlu diperhatikan ibu bapa.
Antaranya adalah ketika anak hilang selera makan berterusan selama sehari meskipun kelihatan sihat.
Bercerita lanjut, bekas Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu kemudian berkongsi tindakannya selepas melihat perubahan ketara Yusuff.
"Sudah persiapkan segala yang mampu dan ambil keputusan untuk ke hospital.
"Ketika Yusuff separa sedar, semampunya dilakukan setiap keadaan yang berbeza.
"Bertukar fikiran untuk ke klinik swasta dahulu mencari oksigen, ini kesalahanku.
"Pembaziran masa 10 minit," ujarnya sambil menjelaskan bahawa kegagalan mendapatkan oksigen di klinik swasta bukanlah kesilapan petugas kesihatan.
Memandang daripada sudut positif, Muhammad Yassir disarankan sambil dibantu para petugas kesihatan untuk ke hospital kerajaan berhampiran.
"Itu kesilapan saya, tetapi doktor di klinik swasta tetap membantu, malah menasihatkanke klinik kesihatan kerajaan terus.
"Syukur klinik kesihatan 5 minit dari situ. Hari terjadinya adalah pada Jumaat. Jika Sabtu dan Ahad boleh terus ke wad kecemasan di hospital kerajaan.
"Kalau ada kad medikal boleh terus ke klinik swasta," jelasnya.
Sebagai bapa tunggal yang membesarkan anak istimewa seorang diri, dia turut menekankan kepentingan untuk merakam video ketika serangan sawan berlaku.
Tujuannya adalah bagi memudahkan pihak doktor menilai keadaan sebenar anak semasa rawatan.
"Bagaimana saya tahu kejadian berlaku selama 30 minit? Sebab video rakaman 30 minit.
"Penting untuk rujukan pakar perubatan," terangnya.
Keadaan Yusuff bagaimanapun dikhabarkan semakin stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
