REKA bentuk dalaman dan dekorasi rumah masa kini bukan lagi sekadar soal estetika dan perabot mewah.
Ia semakin bergerak ke arah integrasi teknologi pintar bagi mewujudkan ruang kediaman yang bukan sahaja cantik, malah menjimatkan tenaga dan selamat.
Tiga pelajar Kolej Vokasional (KV) Setapak membuktikan bahawa idea rumah pintar (smart home) kini boleh dicapai dengan kos efektif melalui projek inovatif mereka.
BACA LAGI: Ramai kesal, salah langkah bina rumah persaraan tak mesra usia, semata nak ikut trend!
BACA LAGI: Dulu keletah comelnya cuit hati, kini Puteri Balqis tunangan orang, terima surat 'cinta' nukilan ibu
Pada Karnival Pendidikan TVET Madani 2025 yang berlangsung di KSL Esplanade Mall, Klang, kehadiran Azri Danial, Muhd Nabil dan Muhd Hadif masing-masing berusia 18 tahun, menarik perhatian ramai dengan model sistem Smart Homestead Electrical Energy.
Projek itu disasarkan kepada pemilik homestay atau rumah sewa yang kerap berdepan isu pembaziran tenaga elektrik apabila penyewa keluar.
Ketiga-tiga pelajar itu bersemangat berkongsi bagaimana sistem mereka mampu mengubah pengurusan tenaga di rumah persendirian.

(Dari kiri) Muhd Hadif, Azri Danial dan Muhd Nabil.
Mengulas tentang fungsi utama sistem itu, Azri Danial menjelaskan, mereka menggunakan konsep pengesan pergerakan canggih bagi mengawal bekalan elektrik secara automatik.
"Kita gunakan sensor pergerakan. Apabila sensor itu mengesan pergerakan di sesebuah ruang, contohnya ruang tamu, lampu dan kipas akan menyala. Bila tiada pergerakan dikesan, ia akan mati secara automatik," kata Azri kepada Majoriti.
Sistem ini memastikan tiada lagi lampu terpasang atau kipas berputar tanpa pengguna, sekali gus menangani isu pembaziran tenaga yang sering membelenggu pemilik homestay.
Aspek penjimatan kos adalah kunci bagi pemilik hartanah.
Muhd Nabil menganggarkan bahawa sistem ini mampu mengurangkan bil elektrik bulanan secara signifikan.
"Anggaran peratus penjimatan kos bulanan adalah sekitar 25 hingga 30 peratus. Sebagai contoh, sebelum menggunakan projek kami, pemilik homestay perlu membayar RM300 sebulan, tetapi sekiranya guna produk kami, ia akan dipotong sebanyak 30 peratus, menjadikan bil sebanyak RM210," ujar Muhd Nabil, memberikan angka yang jelas.
Penjimatan ini bukan sahaja menguntungkan pemilik, malah menjadikan pelaburan pada sistem pintar ini berbaloi dalam jangka masa panjang.

Teknologi rekaan mereka dinilai oleh juri bertugas.
Bagi hartanah sewa seperti homestay, keselamatan adalah aspek yang tidak boleh dikompromi.
Muhd Hadif mendedahkan bahawa ciri paling pintar yang mereka masukkan adalah untuk tujuan keselamatan kebakaran.
"Untuk homestay, ciri smart features yang paling berguna ialah penggunaan smoke detector (pengesan asap).
"Fungsi smoke detector apabila mengesan asap, arus akan dihantar ke buzzer dan mematikan semua arus di kawasan rumah," kata Muhd Hadif, menekankan betapa pentingnya tindakan automatik ini untuk mengelakkan kebakaran merebak.
Tambahnya lagi, sistem itu juga mempunyai keupayaan untuk mengesan kerosakan litar pintas atau overload.
Masalah ini boleh dikesan secara automatik dan ditunjukkan pada papan kawalan PST, membolehkan pemilik bertindak pantas.

Para pengunjung tertarik untuk melihat simulasi teknologi Smart Homestead Electrical Energy.
Walaupun sistem ini amat menjimatkan dan selamat, para pelajar ini mengakui bahawa ia tidak mesra pengguna dari segi pemasangan.
"Ia tidak mesra pengguna (untuk pemasangan sendiri) kerana ia perlukan pekerja yang mahir untuk membuat koding. Maksudnya, ia bukan plug and play," tegas Azri.
Ini bermakna, pemilik rumah memerlukan juruteknik profesional yang mahir dalam pengekodan dan pengaturcaraan untuk mengintegrasikan sistem ini ke dalam infrastruktur elektrik sedia ada.
Projek Smart Homestead Electrical Energy oleh pelajar-pelajar KV Setapak ini jelas menunjukkan bahawa generasi TVET Malaysia bersedia untuk menjadi peneraju dalam menyediakan penyelesaian teknologi praktikal untuk kediaman.
Ia bukan sahaja menawarkan estetika melalui dekorasi yang kemas dan berteknologi tinggi, tetapi yang lebih utama, ia menjanjikan pengurangan kos yang nyata dan peningkatan keselamatan yang kritikal.
Ia membuktikan bahawa rumah pintar yang menjimatkan tenaga dan cekap adalah masa depan boleh kita miliki sekarang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
