Doktor wanita India pertama bergelar ahli bina badan profesional di Malaysia, suami jadi jurulatih


  • Maya
  • Sabtu, 01 Nov 2025

Dr Darshini ialah rakyat India pertama yang memegang Kad Profesional IFBB di Malaysia.

ANAK jati Malaysia, Dr Darshini Thangathurai, bukan sahaja cemerlang dalam bidang perubatan, malah kini mengukir sejarah sebagai wanita India Malaysia pertama memperolehi kad berprestij International Federation of Bodybuilding and Fitness (IFBB) Pro Card pada usia 40 tahun.

Pencapaian luar biasa itu secara rasmi menandakan penyertaan beliau ke dalam status profesional bina badan.

Dengan memiliki Kad Pro IFBB itu, Dr Darshini kini layak bertanding dalam kejohanan profesional Liga Pro IFBB, malah membuka peluang untuk beliau bersaing di pentas berprestij dunia, Mr. Olympia.

BACA LAGI: Projek sistem rumah pintar rekaan pelajar KV Setapak bantu pemilik 'homestay' jimat bil elektrik 30 peratus!

BACA LAGI: 'Lampu pintar banjir', inovasi pelajar KV Shah Alam, beri amaran awal, elak kerugian rosak harta benda

Kejayaan meraih Kad Pro tersebut diperolehi selepas beliau menyertai acara kelayakan IFBB anjuran National Physique Committee (NPC), sebuah badan bina badan dari Amerika Syarikat, yang diadakan di Gyeonggi, Korea Selatan, pada 26 Oktober lalu.

Bertanding dalam kategori figure (bentuk badan), Dr Darshini berjaya menewaskan empat atlet lain dalam divisyennya.

"Kami semua memang mengharapkan kemenangan, tetapi ini benar-benar tidak dijangka.

"Apabila saya berada di sana, saya semakin yakin. Bentuk fizikal saya di kalangan pesaing lain yang memberi saya kekuatan.

"Saya tidak terlalu memikirkannya, saya hanya memberikan yang terbaik dan akhirnya, saya berjaya menang," ujar Dr Darshini yang telah kembali ke Malaysia pada 29 Oktober.

Dalam pertandingan tersebut, peserta diadili berdasarkan simetri, keseimbangan, otot, gaya berposing dan persembahan keseluruhan, yang mana setiap peserta dikehendaki melakukan pos wajib dan berjalan di atas pentas di hadapan panel juri antarabangsa.

Kini, termasuk Dr Darshini, hanya terdapat tujuh rakyat Malaysia yang memegang Kad Pro IFBB.

Prithvee (kiri) merupakan tulang belakang Dr Darshini.

Dr Darshini menonjol sebagai salah seorang wanita Malaysia berjaya menempa nama dalam sukan bina badan yang masih didominasi oleh kaum lelaki.

Beliau juga berbangga kerana dapat mewakili bukan sahaja wanita, tetapi juga komuniti India.

"Ramai orang mempunyai pandangan buruk tentang otot, mereka fikir anda mesti mengambil dadah penambah (dadah terlarang) untuk membinanya. Saya tidak. Saya mahu membina asas yang kuat terlebih dahulu. Ini bukan tentang ingin menjadi lebih besar, ia adalah tentang bersabar, konsisten dan berdisiplin," tegasnya.

Mengimbas kembali, Dr Darshini pada awalnya merupakan seorang pelari maraton yang aktif pada lewat usia 20-an sehingga awal 30-an.

"Saya mula berlari untuk kekal cergas," imbasnya. "Tetapi kemudian, saya mula mahukan perut berketul (six-pack). Itulah bagaimana saya mula-mula menyertai gim, hanya untuk kelihatan lebih baik," kata Dr Darshini yang mengagumi ahli bina badan wanita Amerika dan pemenang lapan kali berturut-turut pertandingan IFBB Figure Olympia, Cydney Gillon.

Perubahan fizikalnya datang dengan cepat. Dalam tempoh tiga bulan, beliau mula menyedari bagaimana latihan kekuatan membentuk semula fizikalnya.

Dengan dorongan suaminya, Prithvee Krisnan, 32, yang juga merupakan jurulatih peribadinya, beliau mula berlatih dengan lebih serius.

"Prithvee adalah orang yang menyemarakkan semangat saya. Dia terus mendorong saya untuk pergi lebih jauh dan kekal 'natural'," katanya sambil tersenyum.

"Anda memerlukan kesabaran untuk membina otot dan konsisten untuk teruskan usaha," kata Dr Darshini.

Hari ini, Dr Darshini menjalankan beberapa peranan. Beliau bekerja sepenuh masa sebagai jurulatih peribadi di sebuah pusat kecergasan di Petaling Jaya, Selangor, sambil bekerja secara sambilan sebagai doktor perubatan di klinik keluarganya di Klang.

Bagi beliau, kecergasan dan perubatan berjalan seiringan.

"Saya melihat bagaimana senaman dan nutrisi boleh mengubah kehidupan.

"Kecergasan boleh membantu menguruskan diabetes, mengurangkan masalah perubatan dan meningkatkan kesihatan mental.

"Itulah sebabnya saya menggabungkan kedua-dua dunia, saya boleh membantu orang secara perubatan dan fizikal," ujarnya.

Melalui platform Instagramnya, beliau menggunakan kisahnya untuk memotivasikan wanita muda agar menerima kecergasan dan mencabar stereotaip tentang otot dan kewanitaan.

"Anda memerlukan kesabaran untuk membina otot dan konsisten untuk meneruskannya.

"Ia bukanlah sesuatu yang berlaku dalam sekelip mata. Ia memerlukan pengorbanan. Namun, hasilnya berbaloi," nasihatnya

Doktor perubatan itu berharap lebih ramai wanita Malaysia akan menemui kekuatan dan keyakinan diri yang datang daripada mengangkat beban. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram