Sultan Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra sambut ulang tahun perkahwinan ke-15 penuh privasi


  • Cinta
  • Ahad, 02 Nov 2025

Sultan Muhammad V dan Sultanah Nur Diana Petra Abdullah menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-15 pada 30 Oktober, mengukuhkan lagi ikatan kasih Diraja yang bermula secara peribadi sejak 2010. — Instagram/hrhnurdiana

RAKYAT jelata seluruh negara baru-baru ini menzahirkan rasa gembira dan merafak sembah ucapan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan isteri Baginda, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultanah Nur Diana Petra Abdullah sempena sambutan ulang tahun perkahwinan yang ke-15.

Tarikh keramat 30 Oktober mencatat sejarah peribadi buat pasangan Diraja itu, yang mana ikatan perkahwinan baginda berdua termeterai pada 2010.

Sambutan penuh makna itu mendapat perhatian meluas selepas foto mesra baginda berdua dikongsi semula oleh peminat dan akaun-akaun media sosial, dipercayai asalnya dimuat naik melalui 'Instagram story' Sultanah Nur Diana Petra sendiri.

BACA LAGI: Melangkah ke masa depan, Lilanz bawa butik futuristik pertama ke Pavilion Bukit Jalil

BACA LAGI: 'Bunk bed' atau 'loft bed', mana satu paling bagus untuk jimat ruang bilik sempit?

Gambar yang memancarkan kebahagiaan dan keharmonian berdua itu tular, sekali gus mengundang ribuan doa dan ucapan selamat daripada pengguna media sosial.

Sultan Muhammad V, yang kini berusia 56 tahun, telah melayari bahtera rumah tangga bersama Sultanah Nur Diana Petra selama 15 tahun dalam suasana penuh privasi.

Meskipun perkahwinan baginda berdua jarang didedahkan kepada umum pada fasa awalnya, keharmonian ikatan itu mula mendapat perhatian lebih meluas selepas Che Puan Nur Diana Petra Abdullah, 37, diisytiharkan sebagai Sultanah Kelantan dengan gelaran DYMM Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, berkuat kuasa pada 2 Ogos 2022.

Pengisytiharan tersebut sekali gus mengiktiraf peranan penting Sultanah di sisi Baginda Tuanku Sultan, khususnya dalam menjalankan tugas-tugas rasmi dan kebajikan negeri.

Sejak diisytiharkan sebagai Sultanah, wanita kelahiran Prague, Republik Czech tersebut sering dilihat menemani KDYMM Sultan Muhammad V dalam pelbagai majlis rasmi negeri dan persekutuan, termasuk Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan serta keberangkatan ke Istana Negara.

Baginda Tuanku Sultan dan Sultanah telah menjadi simbol keutuhan institusi Diraja yang dicintai rakyat sambil menumpukan perhatian pada pembangunan negeri dan kebajikan masyarakat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram