Dulu keletah comelnya cuit hati, kini Puteri Balqis tunangan orang, terima surat 'cinta' nukilan ibu


  • Cinta
  • Khamis, 30 Okt 2025

Dalam persalinan serba putih, Puteri Balqis sah bergelar tunangan Didi, dengan sebait 'Surat Kafziel' dari ibunya penuh harapan dan air mata. — Instagram/Morosechild

PELAKON berbakat besar, Puteri Balqis Azizi, 18, kini menemukan pelabuhan ketenangan dalam kehidupan peribadinya apabila mengumumkan pertunangan dengan jejaka pilihan hati, Didi, menerusi perkongsian foto-foto eksklusif di media sosial baru-baru ini.

Majlis yang disifatkan ringkas namun penuh makna itu dipercayai telah berlangsung secara intim pada 12 Ogos lalu.

Pengumuman pertunangan Puteri Balqis, atau mesra disapa Aqish, bukan sahaja menarik perhatian kepada keanggunannya dalam busana serba putih ketika disarung cincin, tetapi turut disulam dengan satu hantaran yang jauh lebih menyentuh hati.

BACA LAGI: Ramai kesal, salah langkah bina rumah persaraan tak mesra usia, semata nak ikut trend!

BACA LAGI: Terlalu obses punca anak jadi 'pak turut' arahan 'game' buat jenayah, ini 5 kes tragis hingga ada sanggup ragut nyawa ibu

Ia sepucuk surat cinta berbentuk puisi daripada ibunya, Norashikin Mohd Aziz.

Nukilan bertajuk "Surat dari Ibuku, Kafziel" itu sarat dengan emosi, seolah-olah merangkumkan keseluruhan perjalanan hidup Aqish yang penuh dugaan.

Dalam bait-bait katanya, ibu Puteri Balqis secara tulus menulis: "Aku lahir dari duka, Kau dewasa bersama luka, Maka andai derita menjadi pusaka, Maka tenanglah, Pabila kau berjalan bersama kecewa."

Kata-kata itu memberikan gambaran jelas tentang pahit getir yang telah dilalui oleh bintang Anugerah Televisyen Asia (ATA) tersebut, namun kini disusuli dengan doa dan harapan murni.

Surat tersebut membawa wasiat agung, mendoakan agar Puteri Balqis mampu menggantikan kesedihan dengan kelembutan dan agar jiwanya yang pernah terluka diganti dengan keadilan bersulam ketenangan abadi.

Sekiranya cinta dan pengorbanan adalah "wasiat terakhir buatmu," ibunya menyeru agar Aqish "berlarilah mengejarnya," sambil belajar dari beban yang ditinggalkan oleh rantai waktu.

Doa paling mendalam seorang ibu turut dititipkan agar setiap tangisan dan penantian Puteri Balqis diganti dengan kemenangan cinta yang paling dalam, serta sahabat sejati sebagai teman penghuni.

Sebelum ini, Puteri Balqis terpaksa tampil menjelaskan status sebenar Didi (tunang) dan Faris (bapa tiri) bagi menamatkan spekulasi dan tuduhan liar di media sosial.

Beliau memuji Didi dan keluarganya yang amat memahami keadaan ibunya, yang menghadapi cabaran kesihatan mental, menegaskan bahawa pemahaman itu adalah satu nikmat tidak ternilai.

Kini, dengan ikatan pertunangan yang terjalin, Puteri Balqis dilihat telah membuka lembaran baharu, meletakkan harapan tinggi untuk masa depan yang lebih bahagia dan tenang, persis seperti didoakan dalam nukilan ibu dikasihi.

Peminat dan rakan industri segenap lapisan telah menghujani ruangan komen beliau dengan ucapan tahniah, mendoakan agar mahligai yang bakal dibina kekal utuh dan bahagia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram