Tiada lagi stigma tempat 'buangan', generasi muda mula 'survey' rumah persaraan idaman, lengkap fasiliti moden, premium


  • Hias
  • Khamis, 30 Okt 2025

Dari stigma 'dibuang' ke destinasi persaraan mewah ala hotel 5 bintang, generasi muda kini ghairah merancang untuk check-in awal di rumah warga emas moden. — Gambar hiasan/AI

JIKA dahulu 'rumah orang tua' sering dikaitkan dengan stigma anak derhaka dan tangisan pilu di sebalik jeriji besi, kini nampaknya landskap persepsi tersebut berubah 180 darjah.

Generasi muda hari ini, terutamanya yang aktif di media sosial, secara terbuka menyatakan keghairahan mereka untuk merancang persaraan awal.

Apa yang pelik ialah tempat persaraan impian itu adalah di rumah penjagaan warga emas moden!

BACA LAGI: Dulu keletah comelnya cuit hati, kini Puteri Balqis tunangan orang, terima surat 'cinta' nukilan ibu

BACA LAGI: Ramai kesal, salah langkah bina rumah persaraan tak mesra usia, semata nak ikut trend!

Pandangan menarik itu disuarakan oleh pengguna Threads, Yasmin Tajudin, yang membandingkan perbezaan pandangan antara generasi dahulu dan kini.

"Tatkala ibu ayah kita takut ditinggalkan di rumah orang tua, generasi kita lebih teruja untuk plan persaraan awal.

"Kalau boleh nak daftar diri sendiri siap-siap masuk rumah orang tua mana," tulisnya, sambil mempersoalkan sama ada wujud skim pendaftaran awal seperti insurans.

Perubahan perspektif itu bukan berlaku tanpa sebab.

Ia mencerminkan anjakan besar dalam konsep rumah warga emas di Malaysia.

Yasmin Tajudin menegaskan, "Rumah orang-orang tua dulu dengan sekarang tidak sama. Dulu sendu, sedih. Sekarang macam-macam aktiviti ada."

Berikut adalah perbezaan fasiliti dan konsep pengurusan rumah warga emas moden yang menjadi tarikan generasi muda:

1. Transformasi interior: Dari hospital ke hotel butik

Berbanding dengan rumah orang tua tradisional yang sering kelihatan suram, steril atau seperti wad hospital lama, pusat penjagaan warga emas kontemporari kini menampilkan reka bentuk dalaman yang hangat dan selesa.

Konsepnya berubah kepada suasana komuniti mesra, dengan sentuhan reka bentuk universal (memudahkan pergerakan warga emas) dan kemudahan moden, menjadikan ia lebih mirip serviced apartment atau hotel butik.

2. Aktiviti sosial, intelektual lebih menarik

Dahulu aktiviti warga emas terhad kepada riadah ringan atau aktiviti keagamaan asas.

Kini, pusat-pusat jagaan moden menawarkan jadual aktiviti yang padat dan menarik.

Ini termasuklah kelas mengaji, sesi meditasi (yoga/Tai Chi), kelas seni dan kraf, majlis sosial berkala serta program pembangunan kognitif bagi bertujuan mempromosikan penuaan aktif dan sihat.

3. Kemudahan komuniti, riadah bertaraf mewah

Fasiliti yang disediakan tidak lagi hanya sekadar katil dan bilik.

Pusat penjagaan moden dilengkapi dengan bilik fisioterapi, perpustakaan kecil, kawasan rekreasi dan berkebun, malah ada yang menyediakan perkhidmatan spa.

Malah, sebahagian lokasi strategik dibina berhampiran dengan pusat beli-belah, memudahkan warga emas untuk bersosial atau membeli-belah.

4. Penjagaan kesihatan holistik dan berterusan

Konsep penjagaan telah beralih daripada sekadar menyediakan tempat tinggal kepada model penjagaan kesihatan yang holistik.

Pusat moden menyediakan kakitangan penjagaan yang terlatih, perkhidmatan perubatan berterusan, dan pelan pemakanan yang disesuaikan (special diet), termasuk penjagaan paliatif untuk mereka yang memerlukan.

Ia bukan lagi sekadar tempat tinggal, tetapi hab kesihatan.

5. Keinginan berdikari tanpa membebankan keluarga

Perubahan paling ketara adalah pada mentaliti generasi muda.

Jika ibu bapa dahulu takut dicop derhaka jika menghantar ibu bapa ke pusat jagaan, kini anak-anak muda secara proaktif mahu mendaftar diri.

Motifnya jelas kerana tidak mahu menyusahkan anak-anak dan ingin menikmati kehidupan sosial yang berdikari dan berkualiti pada usia senja.

Sunway Sanctuary antara kediaman persaraan bertaraf hotel 5 bintang.

Keghairahan generasi muda itu disokong oleh kewujudan pusat penjagaan warga emas yang menawarkan gaya hidup premium, jauh berbeza daripada imej 'rumah kebajikan' yang suram.

Di Malaysia kini terdapat beberapa jenama pusat perubatan terkemuka menawarkan senior living konsep mewah dan moden. Bukan sahaja lokasi yang strategik, malah menyediakan suite studio dan suite serba lengkap dengan ciri-ciri keselamatan serta akses kesihatan segera.

Ini termasuklah, menyediakan kemudahan penjagaan dibantu (assisted living) yang komprehensif, termasuk lawatan doktor mingguan, pengawasan jururawat 24 jam dan hidangan gourmet yang disediakan oleh tukang masak dalaman (in-house chef).

Pusat-pusat premium itu mengukuhkan naratif bahawa persaraan di pusat jagaan moden adalah pilihan gaya hidup dan bukannya hasil pengabaian.

Kos untuk kemudahan seumpama ini di Lembah Klang dianggarkan antara RM3,000 hingga RM6,000 sebulan atau lebih, bergantung pada tahap penjagaan yang diperlukan.

Melihat kepada permintaan tinggi terhadap konsep active ageing dan kemudahan yang serba lengkap, wajar untuk dipersoalkan cadangan Yasmin Tajudin mengenai kewujudan skim pembayaran awal.

"Boleh bayar masa muda mudi nanti dah berumur tinggal 'serah diri' saja," ujarnya.

Perubahan demografi Malaysia yang bakal menjadi negara menua menjelang 2030 menuntut anjakan paradigma itu direalisasikan segera. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram