DESAKAN hidup di bandar besar seringkali membataskan impian untuk menikmati kehijauan alam semula jadi.
Namun, bagi mereka yang berhadapan ruang rumah terhad, seni terarium menawarkan jawapan paling elegan dengan membawa hutan mini ke dalam kediaman.
Seni menghias taman di dalam balang kaca ini bukan sekadar hiasan, malah telah menjadi sumber pendapatan lumayan dan terapi jiwa buat Pemilik LizAziz Creative House, Abdul Aziz Majid.

Aziz bersama hasil seni terarium yang menjadi sumber pendapatan utamanya selepas bersara.
Berusia 63 tahun, beliau berkongsi bagaimana minatnya terhadap tumbuhan sejak kecil telah berkembang menjadi perniagaan dekorasi eksklusif yang mendapat permintaan tinggi daripada pelbagai lapisan, termasuk agensi kerajaan dan kementerian.
Bagi Aziz, inspirasi untuk menceburi terarium bermula daripada kekangan yang dihadapi selepas berpindah ke ibu kota.
"Asalnya, saya memang minat mengenai tumbuhan tanah pokok. Tetapi bila saya pindah ke Kuala Lumpur, ruang agak terhad. Kalau dulu di kampung (Muar), kawasan rumah itu luas, boleh cucuk tanam. Di sini, agak terbatas," katanya kepada Majoriti.
Beliau melihat terarium sebagai penyelesaian yang sempurna.
Pada 2017, beliau mula mengusahakan terarium sebagai hobi dan mula mempamerkan hasil karyanya di pejabat.
"Saya nampak bahawa terarium ini boleh dijadikan sebagai satu hobi yang mana dalam masa yang sama, dia boleh mendatangkan pendapatan juga kepada kita. Saya teruskan hobi itu sehinggalah saya bersara pada 2022. Hobi ini kemudian menjadi sumber pendapatan utama saya," kongsinya, membuktikan terarium bukan sekadar trend, tetapi peluang perniagaan yang mapan.

Aziz sedang memasukkan tumbuhan ke dalam balang kaca.
Terarium, meskipun bukanlah dekorasi baharu di peringkat global, mula mendapat tempat di Malaysia kerana keistimewaannya yang memenuhi citarasa dekorasi moden.
Aziz menegaskan, terarium adalah pilihan tepat untuk mencipta landskap eksklusif di ruang terhad.
"Bagi mereka yang ingin melihat kehijauan dalam rumah mereka tanpa menggunakan laman yang luas, terarium adalah satu pilihan yang paling tepat.
"Ini penting kerana kita ingin merasakan berada di alam semula jadi walaupun agak sukar untuk kita hari-hari berada di luar sana," ulasnya.
Dalam konteks trend dekorasi, terarium dengan balang kaca yang direka khas menjadikannya mewah dan estetik.
"Bagi pembeli yang mempunyai cita rasa tinggi, terarium menggunakan balang-balang yang direka khas atau ditempah khas, ia akan menjadikan ruang tamu atau pejabat nampak lebih eksklusif, mewah dengan tumbuhan di dalamnya," jelasnya sambil menambah, ia boleh diserikan lagi dengan pemasangan lampu.

Terarium LizAziz sering menjadi pilihan sebagai cenderahati korporat berprestij untuk kementerian dan jabatan kerajaan.
Selain fungsi dekorasi, terarium menawarkan kebaikan emosi yang besar kepada pemilik.
"Terarium ini pada diri saya, dia lebih menjadikan saya seorang yang penyabar. Dia mengajar saya tentang kesabaran kerana membuat terarium itu dengan berteliti, mengambil masa dan perlukan kreativiti.
"Dengan melihat kehijauan dalam balang kaca, ia boleh menjadi 'healing' ataupun melepaskan 'tension'," luahnya secara peribadi.
Ramai pelanggan risau terarium sukar dijaga. Namun, beliau menafikan tanggapan tersebut, malah mendakwa penjagaan terarium hampir 'zero cost'.
"Terarium sangat mudah. Kita hanya semburkan air sebulan satu kali sahaja. Kita tak perlu baja. Kita bukan nak suruh pokok itu tumbuh besar, kita nakkan pokok itu hidup. Dia sangat mudah dijaga, amat berbeza berbanding pokok dalam pasu yang perlu disiram setiap hari," ujarnya.
Rahsianya terletak pada ekosistem mikro di dalamnya, di mana cacing atau 'springtail' membantu dengan kitaran karbon dioksida, yang diperlukan pokok untuk hidup, sekali gus membolehkan tumbuhan hidup lama dalam ruang kedap udara.

Terarium berfungsi sebagai terapi jiwa dan pelepas tekanan buat pemiliknya.
Apabila ditanya mengenai cabaran dan komponen paling penting, Aziz menegaskan bahawa seni dan kreativiti adalah segalanya.
"Apa yang penting di sini adalah kreativiti. Kalau kita mempunyai pokok yang mahal tetapi kita tidak mempunyai daya kreativiti yang bagus, tak juga menghasilkan sebuah terarium yang menarik.
"Cukup sekadar pokok yang kita kenal pasti boleh hidup dan menarik, ia akan menghasilkan sebuah terarium yang cantik juga," katanya, menekankan nilai seni mengatasi harga bahan.
Terarium LizAziz sering mendapat permintaan tinggi, terutamanya selepas pandemik COVID-19, apabila ramai mencari aktiviti dan hiasan hidup untuk dijalankan di rumah.
Permintaan juga tinggi dari jabatan dan kementerian untuk dijadikan cenderamata kepada pemimpin negara, membuktikan terarium kini menjadi hadiah korporat yang berprestij. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
