Jangan terpedaya kolam renang saiz Olimpik, ketahui 5 realiti 'pahit' sebelum beli rumah 'high-rise'


  • Hias
  • Khamis, 30 Okt 2025

Sebelum terpedaya dengan kolam renang berkilauan rumah high-rise, fahami 5 perkara wajib tentang hartanah strata agar anda tidak menyesal duduk rumah sendiri rasa seperti menyewa.

IMPIAN memiliki kediaman mewah dengan kemudahan serba lengkap seperti kolam renang berkilauan, lantai marmar dan gimnasium moden sering menjadi tarikan utama pembeli rumah bertingkat (high-rise).

Namun, tahukah anda, di sebalik kemewahan itu tersimpan 'sakit' yang membuatkan pemilik rumah berasa seperti menyewa rumah sendiri?

Pakar hartanah, Azlan Nizam, di Facebook mendedahkan realiti di sebalik pemilikan hartanah strata yang merangkumi apartment, kondominium, SOHO dan lot runcit dalam pusat beli-belah.

BACA LAGI: Ramai kesal, salah langkah bina rumah persaraan tak mesra usia, semata nak ikut trend!

BACA LAGI: Dulu keletah comelnya cuit hati, kini Puteri Balqis tunangan orang, terima surat 'cinta' nukilan ibu

Menurut Azlan, ramai pembeli tersilap anggap bahawa selepas membeli unit, urusan harta benda lain di luar petak rumah adalah bukan tanggungjawab mereka.

Beliau menegaskan, apabila membeli rumah strata, kita bukan sahaja membeli parcel (unit milik peribadi), tetapi juga saham dalam common property (hartanah bersama).

Ini termasuklah lif, tangga, koridor, taman, kolam renang, gimnasium, malah bumbung dan paip utama.

"Kita ada tanggungjawab atas semua itu. Sebab kita ada 'share' (unit saham) dalam hartanah bersama, maka kita pun ada tanggungjawab," jelas Azlan, sambil membongkar lima masalah utama yang sering membelenggu pemilik rumah high-rise sehingga membuatkan mereka berasa tidak berpuas hati.

Beli rumah 'high-rise' bermakna membeli sekali tanggungjawab untuk menjaga keseluruhan bangunan bersama-sama.

1. Pembayaran penyelenggaraan culas, kemudahan terbiar uzur

Masalah itu adalah yang paling ketara meskipu pemilik membayar caj penyelenggaraan bulanan, namun kemudahan seperti lif rosak berminggu-minggu, kolam renang bertukar hijau atau bumbung parkir bocor.

Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) dilihat gagal bertindak, membuatkan pemilik berasa wang mereka hangus begitu sahaja.

2. Menanggung beban kewangan jiran

Isu ini amat menyakitkan, apabila ramai pemilik unit culas membayar caj penyelenggaraan, dana pengurusan hartanah akan kekurangan.

Akhirnya, pemilik yang bertanggungjawab terpaksa menanggung beban kewangan tersebut, sering kali melalui pengenaan special levy.

Rasa terpaksa menanggung kesilapan orang lain ini menimbulkan rasa tidak puas hati yang mendalam.

3. Politik Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) yang melumpuhkan

Mesyuarat JMB sering bertukar medan pertelingkahan.

Konflik dan 'politik' dalaman menyaksikan sabotaj dan salah guna kuasa berlaku, menyebabkan keputusan penting melibatkan kebajikan bangunan tergendala.

Keadaan ini secara langsung menyumbang kepada kemerosotan dan keuzuran aset hartanah bersama.

4. Ketelusan pengurus hartanah yang meragukan

Isu ketidakjujuran pengurus hartanah adalah kebimbangan serius.

Aduan mengenai dana sinking fund yang hilang entah ke mana atau tender naik taraf tidak mengikut prosedur sering timbul.

Pemilik hartanah berasa ditipu dalam diam, kerana tiada pihak yang bertanggungjawab memastikan ketelusan kewangan.

5. Rasa seperti menyewa rumah sendiri walau milik penuh

Inilah kemuncak kekecewaan apabila pemilik terus membayar cukai, ansuran pinjaman bank dan caj bulanan, namun bangunan mereka miliki semakin rosak.

Isu siling bocor, sistem keselamatan longgar dan bumbung yang hampir runtuh membuatkan pemilik mempersoalkan status pemilikan mereka.

Mereka seolah-olah hanya 'menyewa' sebuah rumah yang hakikatnya milik mereka sendiri.

Justeru, Azlan Nizam mengingatkan bakal pembeli rumah strata agar mengubah mentaliti.

Beli rumah high-rise bermakna membeli sekali tanggungjawab untuk menjaga keseluruhan bangunan bersama-sama.

Sebelum membuat keputusan besar, pastikan pembeli menyelidik latar belakang JMB, rekod pengurusan dan tahap ketelusan mereka.

Jangan biarkan impian memiliki rumah sendiri berakhir dengan mimpi ngeri seolah-olah menyewa kediaman yang tidak diurus dengan baik.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram