BAYANGKAN selepas puluhan tahun membanting tulang mengejar kerjaya dan kestabilan, rumah impian yang akhirnya terbina pada usia senja bertukar menjadi 'sangkar' sunyi.
Inilah realiti pahit disaksikan oleh ejen hartanah, Azlan Nizam, sepanjang pengalamannya berurusan dengan warga emas.
Mereka mungkin memiliki kunci rumah, tetapi tidak semua memiliki kunci ketenangan.
BACA LAGI: Seni terarium bukan sekadar hobi, rutin menghias landskap mini jadi terapi
Menurut Azlan, ramai tersilap langkah membina rumah persaraan mengikut trend atau saiz yang tidak mesra usia, menyebabkan mereka terperangkap dalam penyesalan kemudian hari.
Dalam perkongsian beliau di Facebook, Azlan menyatakan, "Ada satu perkara yang aku perasan selepas berjumpa ratusan pasangan warga yang telah agak berusia sepanjang jadi ejen hartanah. Mereka semua ada rumah, tapi tak semua ada tempat untuk 'tenang'."
Azlan menjelaskan bahawa konsep rumah persaraan telah disalahertikan.
Ramai masih berpegang kepada mentaliti semakin besar, semakin bagus yang dikejar semasa muda.
"Ada dulu kejar banglo besar, tapi sekarang menyesal sebab tak mampu jaga. Ada yang beli rumah dekat anak, tapi akhirnya tinggal berdua dalam sunyi. Daripada semua cerita tu, satu benda aku belajar. Rumah persaraan bukan tentang harga, saiz, atau lokasi glamor," tegasnya.
Rumah persaraan, katanya, adalah tentang bagaimana kita mahu hidup apabila rentak dunia mula perlahan.
Ia adalah tempat untuk berehat, bukan sekadar tempat tidur.
Menurut Azlan, kesilapan terbesar ialah menangguhkan perancangan rumah persaraan sehingga benar-benar bersara.
"Ramai orang fikir rumah persaraan itu benda yang kita buat bila dah nak pencen. Padahal masa itu harga dah melambung, tenaga pun dah tak banyak. Yang bijak, dia rancang 10 ke 20 tahun lebih awal. Waktu masih bekerja, masih kuat, masih ada pilihan," kongsinya.
Perancangan awal membolehkan individu mempunyai lebih banyak pilihan dari segi kewangan dan reka bentuk, menjadikan projek rumah persaraan itu sebagai "hadiah kepada diri sendiri sebab dah bertahun berjuang."

Rumah persaraan bukan sekadar tempat tidur, tetapi hadiah yang anda berikan kepada diri sendiri selepas bertahun berjuang.
Dalam memilih lokasi, Azlan menyarankan agar fokus beralih daripada kemudahan bandar kepada kemudahan kesihatan dan sosial.
"Sebab itu lokasi paling penting. Kalau boleh, cari kawasan yang ada hospital dekat, pasar pagi, surau, taman kecil dan jiran yang masih berbual depan pagar. Tak perlu dekat bandar tapi jangan terlalu sunyi sampai bunyi ayam pun dah tak dengar,” jelasnya.
Pada usia senja, keutamaan bukan lagi hiburan, tetapi komuniti yang hidup. Beliau menambah, "Bila kita tua, kita tak perlukan lagi kawasan fancy. Kita cuma nak jiran yang tegur, surau yang hidup dan taman yang ada bangku kayu untuk duduk petang-petang."
Azlan turut menekankan kepentingan reka bentuk rumah yang jujur mengikut kemampuan fizikal usia.
"Bila masuk bab reka bentuk, kita kena jujur dengan umur sendiri. Lupa nak fikir pasal tangga curam, bilik air licin, pintu sempit, semua tu boleh jadi masalah nanti. Rumah yang mesra usia bukan untuk orang sakit, tapi untuk elak kita cepat sakit," nasihatnya.
Selain itu, Azlan menasihati agar ibu bapa mengelak daripada membina rumah persaraan mengikut keperluan anak-anak yang mungkin sudah berkeluarga sendiri.
"Ramai tersilap bila nak buat rumah persaraan sebab mereka bina ikut anak. Lima bilik, empat bilik air. Padahal bila semua dah kahwin, tinggal berdua. Cukuplah tiga bilik, satu untuk diri, satu tetamu, satu untuk hobi. Biar kecil tapi hidup," katanya, menyarankan konsep yang lebih praktikal dan bersaiz sederhana.
Aspek kewangan juga harus dirancang dengan teliti. Azlan memberi amaran agar tidak menghabiskan semua simpanan untuk membina rumah semata-mata.
"Duit pun kena rancang. Jangan guna semua simpanan semata untuk bina rumah. Asingkan tabung khas untuk penyelenggaraan, cukai dan ubah suai kecil. Kalau ada rumah sedia ada, boleh guna refinance sebagai leverage," katanya, menambah bahawa rumah lama boleh disewakan untuk menjana pendapatan.
Azlan mengakhiri perkongsian beliau dengan menyeru semua pasangan yang sedang bekerja untuk segera memulakan perbincangan tentang rumah persaraan.
"Rumah persaraan bukan impian orang kaya tapi pilihan orang bijak. Mula bisik-bisik, sembang-sembang dan bincang-bincang dengan pasangan masing-masing tentang topik ini supaya memenuhi expectation semua yang terlibat," tutupnya.
Apabila kita merancang dari awal, kita bukan sekadar membina rumah, tetapi kita membina ketenangan untuk masa depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
