SETIAP kanak-kanak sememangnya mempunyai minat dan kecenderungan tersendiri dalam menentukan arah serta pilihan pembelajaran mereka.
Ada yang gemar melukis, bermain alat muzik atau bersukan.
Namun, lain pula bagi anak kembar kepada angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, Sheikh Adam.
BACA LAGI: Giliran anak belajar kulinari, ikut jejak ibu, ayah alumni TVET, potensi luas dalam industri
BACA LAGI: 'Sayang, mommy dan daddy', Latif Romly, isteri bakal timang cahaya mata sulung
Menerusi video dikongsikan di Threads baru-baru ini, telatah Adam mencuri perhatian apabila menunjukkan minat mendalam terhadap subjek matematik khususnya algebra meskipun baru berusia 8 tahun.
"Ini Adam, penggemar algebra. Banyak kali menggeledah bilik Bella (kakak) mencari buku matematik, algebra, trigonometri, bulatan dan pemfaktoran.
"Dia melakukannya sendiri dan sentiasa ingin tahu mencari ilmu. Dia akan mencari bantuan saya jika perlu, Alhamdulillah," tulisnya.
Lebih menginspirasikan, Adam pernah membawa pulang pingat perak dalam Pertandingan Matematik Olympiad (OMC) peringkat antarabangsa pada awal Oktober lalu.
Selain bijak dalam akademik, penerima anugerah Ikon Murid Cemerlang dan Tulisan Tercantik 2024 itu juga ternyata sudah mempelajari tulisan kursif atau berangkai sejak berusia enam tahun.
Meskipun sering dianggap sebagai sekadar subjek di sekolah, namun algebra dikatakan merupakan asas penting pada hampir semua cabang ilmu moden yang menjadi tunjang kemajuan dunia hari ini.
Dari sains dan kejuruteraan hinggalah teknologi kecerdasan buatan (AI), sistem satelit dan komputer, semuanya berakar daripada prinsip asas algebra yang membolehkan manusia memahami dan mengira fenomena alam dengan lebih tepat.
Selain warisan berharga dalam tamadun Islam, perkataan algebra sendiri diambil daripada karya agung cendekiawan Islam, Al-Khwarizmi dalam Al-Kitab al-Mukhtasar fi Hisab al-Jabr wal-Muqabala yang ditulis pada abad ke-9.
Justeru, penguasaan dalam algebra juga terbukti dapat membantu pelajar memahami subjek lain seperti fizik dan kimia dengan lebih mudah kerana hampir semua formula saintifik berpaksikan konsep algebra. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
