Tak malu terima tempahan walau sehelai, pasangan suami isteri terpaksa pinjam mesin jahit sebelum dikenali ramai


  • Bisnes
  • Ahad, 26 Okt 2025

Kisah dan perjalanan pasangan usahawan muda di Tulungangu, Indonesia. — Agensi

 

 

SIAPA sangka modal sekecil RM13 (RP45,000) mampu membina sebuah perniagaan penghasilan sulaman dan jahitan yang kini mencatat ratusan juta nilainya.

Itulah kisah pasangan suami isteri muda dari Tulungangung, Jawa Timur, Indonesia, Anwar Fuadi dan Fitria Nuriani.

Pasangan itu juga ternyata membuktikan bahawa tekad dan kerja keras mampu menghasilkan perniagaan yang berimpak besar walaupun hanyalah bermula dari rumah sewa.

BACA LAGI: [VIDEO] GreenScoot permudah urusan orang tua-OKU ke masjid sekitar Kedah, kini intai pasaran Brazil-Nigeria

BACA LAGI: Pinjam duit ibu bapa jadi modal, remaja 19 tahun bergelar bilionair guna strategi bijak bangunkan Bolt

Usaha dan semangat Anwar (kiri) dan Fitria (kanan) dalam membangunkan perniagaannya. — Agensi

Segalanya bermula pada 2016. Dengan wang sebanyak itu, mereka cuba membeli kain untuk menghasilkan tudung.

Produk pertama dijahit sendiri menggunakan mesin jahit yang dipinjam daripada saudara, kemudian dipromosikan secara kecil-kecilan menerusi hantaran Facebook.

"Awalnya malu-malu, tetapi ternyata ada yang beli. Dari situlah kami mula yakin," kata Fitria.

Setiap keuntungan yang diperoleh juga tidak pernah digunakan untuk berbelanja sewenang-wenangnya.

Semua hasil jualan dipusing semula menjadi modal perniagaan.

Dalam tempoh sebulan, modal mereka berkembang cukup untuk membeli kain baharu.

Mesin jahit yang digunakan di kilang pasangan tersebut. — Agensi

Walaupun tempahan masih sedikit, mereka tetap konsisten melayani setiap pelanggan.

Pasangan tersebut turut membiasakan diri untuk sentiasa berjimat dalam setiap perbelanjaan harian.

Rumah sewa sederhana mereka dijadikan sebagai gudang menyimpan stok produk jualan.

Tanpa papan tanda mahupun kaunter pameran, malah promosi hanya dilakukan sepenuhnya melalui media sosial.

Namun, daripada keterbatasan itulah mereka belajar tentang pengurusan kewangan, strategi promosi digital dan cara berkomunikasi dengan pelanggan.

"Waktu itu, kami tidak mempunyai mesin jahit dan semua dibuat secara manual.

"Bila tempahan banyak, kami terpaksa bekerja hingga larut malam.

"Kadang-kadang ada juga permintaan datang secara serentak," katanya.

Bukan sekadar itu, Anwar mendedahkan, cemuhan daripada orang sekeliling turut hampir menjatuhkan semangat mereka.

Perniagaan mereka yang menawarkan perkhidmatan menjahit pelbagai jenis pakaian. — Agensi

Menurutnya, ada sesetengah individu yang memandang rendah kerana menganggap perniagaan kecil dari rumah tidak menjanjikan masa depan.

"Bahkan, ada yang kata usaha kami tidak akan bertahan lama. Tetapi, kata-kata itu justeru membakar semangat kami.

"Saya pernah bekerja sebagai buruh membuat batu-bata untuk menampung kos belajar pada masa sama tambah modal perniagaan.

"Walaupun penat, pengalaman itu mengajar erti ketabahan.

"Kami belajar bahawa setiap proses pasti ada harga yang harus dibaya," jelasnya.

Selepas beberapa tahun mengharungi onak duri, pasangan tersebut menyedari bahawaq mereka perlu mengembangkan lagi perniagaannya.

Akhirnya, hasil daripada menabung dan sedikit wang pinjaman, mereka berjaya membeli mesin jahit pertama.

Langkah itu ternyata menjadi titik mula buat mereka dengan pengeluaran menjadi lebih pantas, hasil lebih kemas dan tempahan pula semakin meningkat.

Selain melabur pada peralatan, mereka juga menumpukan perhatian pada pemasaran digital.

"Kami tak malu untuk menerima tempahan kecil walau hanya sehelai kerana dari situlah pelanggan rasa dihargai," tambah Fitria.

Kini, selain mampu menjana pendapatan tinggi, pasangan itu juga mampu menghasilkan ribuan helai pakaian setiap bulan.

Kejayaan itu sekali gus menjadikan mereka antara usahawan muda yang memberi inspirasi kepada komuniti setempat.

Kebanyakan pelajar, penduduk tempatan dan usahawan kecil datang untuk belajar cara membangunkan perniagaan dengan menggunakan modal kecil.

"Matlamat kami bukan sekadar besar, tetapi stabil. Kami mahu usaha ini terus berdaya tahan.

"Kami ingin orang lain turut merasakan manfaat daripada usaha ini.

"Sebab bagi kami, kejayaan bukan hanya soal wang, tapi tentang beri manfaat kepada masyarakat," ucapnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram