PENYANYI dan selebriti tanah air, Nana Mahazan berkesempatan berkongsi momen penuh bermakna ketika bercuti bersama keluarganya baru-baru ini.
Menerusi video dikongsikan di hantaran Instagramnya, Nana dan keluarga meluangkan masa di Amsterdam sempena ulang tahun ke-15 anak sulungnya, Althea Raqeem Brian.
Nana pada masa sama mendedahkan bahawa percutian itu pada asalnya dirancang ke Jepun namun, pelan berubah saat akhir apabila suaminya, Raqeem Brian Abdullah mencadangkan menziarahi bapanya yang menetap di Amsterdam lebih 45 tahun.
Menurut pemilik nama sebenar Nurul Hana Che Mahazan, walaupun perjalanannya jauh keputusan itu dirasakan tepat kerana anak-anaknya, Althea dan Aaqib hanya ke Eropah sewaktu kecil.
"Aaqib dan Althea sangat teruja. Selain sambut ulang tahun Althea, percutian ini juga untuk mereka belajar menghargai budaya, cuaca berbeza dan paling penting mensyukuri kebesaran ALLAH," tulisnya.
Dalam hantaran sama, Nana turut menitipkan ucapan menyentuh hati buat anak perempuannya yang kini meniti usia remaja.
"Masa mengandungkan Althea, saya tahan selama 12 jam konon nak drug-free delivery.
"Dari dahulu sampai sekarang, Althea memang istimewa. Sebagai kakak banyak mengalah dengan adik dia yang clingy.
"Tetapi, saya nak dia tahu yang ibu sayang kedua-duanya secara adil," ucapnya.
Perkongsian itu turut disertakan dengan video mesra keluarga kecil tersebut menikmati percutian musim luruh di Amsterdam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
