ISU pemberian nafkah sering kali menjadi antara topik hangat dalam kalangan masyarakat.
Namun, masih ramai pasangan suami isteri dilihat keliru dengan maksud sebenar nafkah yang wajib disediakan dan diterima.
Justeru, peguam syarie, Aiman Zulkifli menjelaskan bahawa ia perlu dilakukan seiring dengan tuntutan syarak bagi pasangan beragama Islam.
BACA LAGI: Bermula cuma 'order' 3 botol, Jus Asam Kunyit Rahsia Nenek gigih beroperasi dari ceruk dapur
BACA LAGI: Anak usia 3 tahun tunjuk ciri kurang keyakinan diri, kecewa, ini penjelasan pakar kaunseling

Penjelasan Aiman (gambar kecil) berkaitan isu pemberian nafkah. — Gambar hiasan
Menurutnya, hukum yarak tidak menetapkan suami untuk memberi nafkah kepada isteri berbentuk wang ringgit sama ada secara bulanan atau berkala.
"Apa yang diwajibkan adalah suami perlu menyediakan makan, minum, pakaian dan tempat tinggal kepada isteri.
"Ini bermakna apabila seorang suami sudah melengkapkan tuntutan itu mengikut kemampuan, maka terlaksanalah kewajipan memberi nafkah bagi pihaknya.
"Sekiranya suami isteri tersebut mencapai kata sepakat untuk pemberian nafkah secara tetap maka, nafkah yang tetap itu akan menjadi hutang jika suami tidak tunaikan.
"Keadaan ini dinamakan tamlik (pemilikan). Contohnya, si suami sudah berjanji untuk memberi RM700 setiap bulan sebagai ganti kepada nafkah (makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal) dan isteri bersetuju.
"Jika suami tidak memberinya jumlah yang dijanjikan, maka ia menjadi hutang dan boleh dikira sebagai nafkah yang tertunggak," jelasnya.
Katanya lagi, sekiranya dalam sebuah perkahwinan itu, suami isteri tersebut tidak mempunyai apa-apa persetujuan atau perjanjian berkenaan, maka keadaan itu dinamakan nafkah secara tamkin (kecukupan).
Keadaan tersebut sekali gus tidak akan menjadi hutang bagi pihak suami.
"Kitab Al-Fiqh Manhaji menjelaskan, jika isteri makan dan tinggal bersama suaminya sebagaimana yang biasa berlaku pada hari ini tanpa adanya perjanjian yang menentukan kadar tertentu makanan asasi dan al-udm yang mesti diberikan kepada isteri, nafkah ini dikira sebagai tamkin dan bukan tamlik.
"Kewajipan tersebut digugurkan dengan berlalunya masa (tidak diberikan pada masanya).
"Jika isteri membuat perjanjian yang menentukan kadar nafkah yang tertentu dengan suaminya atau kadi telah mewajibkan suami membayar kadar nafkah tertentu kepadanya.
"Ketika itu nafkah tersebut mempunyai kadar tertentu dan mesti diberikan walaupun masa yang sepatutnya diberikan telah berlalu.
"Nafkah jenis ini dikira sebagai tamlik (pemilikan). Isteri boleh meminta benda lain yang disukainya sebagai ganti kepada nafkah tersebut," terangnya.
Situasi itu turut dibuktikan dalam satu kes di mahkamah melibatkan pasangan bernama Juliah Abdullah dan Omar Charles Abdullah.
Ceritanya, kes itu berlaku apabila plaintif, Juliah menuntut tunggakan nafkah sebanyak RM797,700 atas dakwaan suaminya gagal memberi nafkah sepanjang tempoh perkahwinan.
Namun, hasil soal balas mendapati si isteri keliru dan tidak faham tentang maksud sebenar nafkah dengan menganggap ia hanya dalam bentuk wang tunai.
"Mahkamah kemudiannya memutuskan bahawa defendan, Omar telah menunaikan tanggungjawab untuk memberi nafkah seperti makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal secara tamkin.
"Tuntutan tunggakan nafkah tersebut ditolak. Mahkamah hanya membenarkan tuntutan tunggakan nafkah berjumlah RM6,000 (RM1,000 selama 6 bulan) sahaja kerana dari tempoh Julai 1985 hingga Disember 1985, defendan tidak memberikan nafkah kepada isteri kerana tidak bekerja," ujarnya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
