Kad bank disekat kerana kod 91, lahir di AS, lelaki saran ibu-ibu fikir dulu jika nak bersalin luar negara


  • Bonda
  • Rabu, 22 Okt 2025

Situasi seorang lelaki warganegara Malaysia yang lahir di luar negara berdepan masalah melakukan transaksi bank. — Gambar hiasan/AI

PARA ibu disarankan untuk berfikir panjang sebelum membuat keputusan melahirkan anak di luar negara.

Hal ini kerana ia sering kali menimbulkan kekeliruan dalam melakukan urusan rasmi terutama melibatkan pengesahan identiti serta dokumen kewarganegaraan.

Terbaharu, seorang lelaki meluahkan kekecewaan apabila akaun banknya disekat hanya kerana status kewarganegaraannya.

BACA LAGI: Wanita jangan keliru, peguam jelaskan nafkah bukan dalam bentuk wang tunai semata kecuali situasi tamlik

BACA LAGI: Bermula cuma 'order' 3 botol, Jus Asam Kunyit Rahsia Nenek gigih beroperasi dari ceruk dapur

Menerusi hantaran dimuat naik di Facebooknya, Muslih Thani baru-baru ini mendedahkan tempat lahirnya di Amerika Syarikat (AS).

Hasil semakan lanjut mendapati masalah itu berpunca daripada kod 91 pada kad pengenalannya.

Ia merupakan antara kod khusus bagi individu warganegara Malaysia yang lahir di luar negara.

Menurutnya, situasi itu sekali gus menyebabkan urusan transaksi pada akaun banknya tergendala dan memerlukan proses pengesahan yang rumit.

"Isteri nak beli barang guna kad bank CIMB, isi minyak gunakan Setel dan sambungkan dari CIMB, bayar guna Grab Pay guna bank sama juga tak boleh.

"Bila hubungi pihak bank saya dimaklumkan bahawa mereka buat operasi besar-besaran untuk elak penipuan (scammer) katanya.

"Dan akaun saya secara rawak terpilih untuk disekat. Dia minta saya ke mana-mana cawangan dan bawa surat beranak.

"Bila hadir ke cawangan CIMB terdekat dan bawa surat beranak, saya diberitahu akaun disekat kerana IC saya kod 91 dan lahir di AS," luahnya.

Namun, situasi menjadi rumit apabila urusan pembukaan sekatan akaun perlu mengambil masa yang lama kerana ia hanya boleh diproses di satu cawangan.

Katanya, situasi tersebut bukanlah kali pertama berlaku.

"Sebelum ini masa nak buat pasport pun saya disoal siasat panjang.

"Tak boleh lulus selagi tak buktikan macamana saya masuk Malaysia.

"Akhirnya kena cari semula pasport lama mak saya sebab dahulu bayi tumpang pasport ibu," jelasnya.

Susulan pengalaman itu, Muslih menasihati ibu bapa yang merancang untuk melahirkan anak di luar negara supaya berfikir dengan mendalam tentang implikasi jangka panjang terhadap urusan sedemikian di Malaysia.

Sementara itu, pihak CIMB setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai isu berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram