Bapa 5 anak kongsi kebaikan hidup menyewa, keluarga lebih bersederhana, sentiasa bersyukur


  • Bonda
  • Sabtu, 18 Okt 2025

Fairuz Sallehuddin menganggap kehidupan menyewa rumah mengajar anak-anak lebih bersederhana dan sentiasa bersyukur. — Gambar hiasan/Janaan AI

PERSEPSI masyarakat hari ini lazimnya melihat kejayaan memiliki rumah sendiri sebagai tanda kejayaan dan kestabilan hidup.

Namun, bagi seorang bapa kepada lima cahaya mata, Fairuz Sallehuddin, pengalaman hidup berpindah-randah dan tinggal di rumah sewa sebenarnya membawa banyak hikmah yang tidak ternilai bukan sahaja untuk dirinya, tetapi juga pembentukan akhlak dalam diri anak-anaknya.

Berkongsi hantaran di laman sosial, perkara itu berbangkit apabila salah seorang anaknya bertanya mengapa mereka tidak membeli rumah seperti keluarga lain.

 

BACA LAGI: [VIDEO] 'Serai, cili padi pun ada', terhibur gelagat Janna Nick, suami beli barang dapur bajet RM200 di London

BACA LAGI: Kasih sayang selamanya, anak hadir majlis graduasi pakai 'skirt' guna tali leher mendiang bapa

Tersentak dengan soalan itu, Fairuz walau bagaimanapun menjelaskan dengan jujur bahawa keputusan menyewa buat masa ini bukan bermakna mereka gagal, sebaliknya satu pilihan kehidupan memberi banyak pelajaran dan peluang bersyukur.

"Pernah anak-anak tanya sebab kami selalu pesan jangan buat ni, jangan buat tu, ni rumah orang, jadi mereka tahu Ummi dan Abah mereka menyewa, bukan beli.

"Bila mereka tanya, Ummi Abah, kenapa kita tak beli rumah macam orang lain? Sampai bila kita nak menyewa?’, saya jawab, tunggu Ummi Abah ada cukup tunai, Insha-ALLAH kita beli.

"Sekarang ni kita pindah-pindah dulu, kan seronok dapat pengalaman baharu, jumpa jemaah masjid baru," ujarnya.

 

 

Baginya, setiap kali berpindah rumah memberi peluang kepada keluarganya untuk merasai suasana baharu, membina kemahiran dan menyesuaikan diri dengan pelbagai cabaran hidup.

Katanya, setiap tempat didiami membawa pengalaman berbeza yang membantu anak-anaknya menjadi lebih matang dan berdikari.

Dalam masa sama dia turut menjelaskan bahawa mereka kini sedang berpindah ke rumah yang lebih luas untuk memberi ruang kepada anak lelakinya yang semakin membesar dan bakal memasuki usia praremaja.

Berhasrat melibatkan anaknya dalam aktiviti pertanian kecil-kecilan semasa sesi pembelajaran di rumah (homeschooling) kelak, hal itu menurutnya sangat penting bagi perkembangan anak-anaknya.

"Rumah dapat dipilih mengikut keperluan dan fasa kehidupan seisi keluarga, menyewa ajar kita bersederhana, perbaharui rasa syukur dan menilai semula barang apa yang betul-betul kita perlukan," katanya.

"Setiap kali berpindah, keluarga dapat menyusun semula kehidupan, membuang yang tidak perlu dan memfokuskan kepada apa yang benar-benar penting.

"Rumah itu bahagia, terasa lapang dan berkah bila kita besarkan ALLAH di dalamnya, walau di mana pun rumah itu berada, siapa pun penghuninya, Insha-ALLAH akan ada keberkatan," ujarnya mengakhiri perkongsian.

Tegas menyatakan bahawa rumah bukan sekadar harta fizikal, tetapi ia lebih berperanan sebagai tempat membina kasih, nilai dan keberkatan hidup.

Hidup menyewa mungkin sementara, namun kebahagiaan keluarga tetap kekal apabila dihuni dengan rasa syukur dan keikhlasan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram