Diet fibermaxxing makin 'trending', terlalu ekstrem risiko kanser, usus tersumbat?


  • Gaya
  • Selasa, 21 Okt 2025

Fibermaxxing semakin menjadi pilihan dalam mengamalkan gaya hidup sihat. — Gambar hiasan

MASYARAKAT kini lebih peka dengan kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat dalam rutin harian.

Ditambah pula dengan pelbagai trend kesihatan baharu di platform media sosial sekali gus memberi akses mudah kepada para pengguna.

Selain intermittent fasting (IF) atau keto, fibermaxxing muncul sebagai trend baharu dalam kalangan masyarakat global.

BACA LAGI: Anak usia 3 tahun tunjuk ciri kurang keyakinan diri, kecewa, ini penjelasan pakar kaunseling

BACA LAGI: Pesona busana tradisional ungu warnai Deepavali, sekeluarga tampil sedondon

Campuran serat buah dan sayur membantu sistem pencernaan badan. — Gambar hiasan

Gaya pemakanan itu juga dianggap dapat membantu sistem pencernaan, menstabilkan gula dalam darah serta mencukupkan pengambilan serat seharian.

Apa itu fibermaxxing?

Fibermaxxing merujuk kepada amalan meningkatkan pengambilan makanan tinggi serat dengan matlamat mencapai atau melebihi jumlah pengambilan serat harian yang disarankan.

Trend yang semakin tular di TikTok itu juga dilihat sesuai bagi individu yang ingin mencuba pola pemakanan baharu.

Menurut pakar perubatan antarabangsa, fibermaxxing bermaksud lebih berdisiplin dalam menjaga kuantiti serat yang diperlukan sehari.

"Saya biasanya menggalakkan pelanggan untuk mendapat sekurang-kurangnya 30 gram (g) serat sehari dan mengambil kira-kira 30 jenis tumbuhan seminggu," katanya.

Namun, pakar nutrisi, Phoebe Liebling menegaskan bahawa panduan tersebut tidak cukup terperinci kerana tidak membezakan antara dua jenis serat iaitu larut dan tidak larut dalam air.

Beliau menjelaskan, serat larut berfungsi seperti span penyerap untuk menarik air ke dalam usus dan membentuk tekstur seperti gel.

Ia membantu menstabilkan pencernaan, mengawal paras gula darah, menurunkan kolesterol jahat (LDL) serta melembutkan najis.

Antara sumber serat larut adalah oat, biji chia, ubi masak dan terung.

Sebaliknya, serat tidak larut digambarkan sebagai 'berus kasar' yang membantu merangsang pergerakan usus dan memberi struktur pada najis.

Ia boleh didapati dalam kulit buah dan sayuran, bijirin penuh, kekacang dan sayuran berdaun hijau.

Kepentingan serat dalam diet

Menurutnya, terdapat tiga manfaat utama pengambilan serat.

Antaranya, menjadi makanan kepada bakteria baik dalam usus yang berfungsi mengawal imuniti, metabolisme dan keseimbangan hormon.

Serat juga membantu melancarkan proses membuang air besar serta menyerap toksin, kolesterol dan hormon berlebihan.

Pada masa sama membantu menstabilkan paras gula darah dan menurunkan kolesterol jahat secara semula jadi.

Cara mudah tingkat pengambilan serat

Anda boleh menyediakan campuran biji-bijian seperti chia, flaxseed dan kacang sebagai taburan pada makanan.

Kemudian, memilih beras campuran atau roti bijian penuh, menambah herba segar dan rempah ratus dalam masakan.

Anda juga boleh mengambil psyllium husk (kulit biji psyllium) dalam air sebagai tambahan serat larut.

Bahaya pengambilan serat berlebihan

Walaupun manfaat serat tidak dinafikan, pakar kesihatan kini memberi amaran tentang trend fibermaxxing yang keterlaluan.

Data daripada National Institutes of Health (NIH) menunjukkan sebanyak 95 peratus rakyat Amerika Syarikat (AS) tidak mencapai kadar serat harian disarankan iaitu antara 21 hingga 38 gram bergantung pada jantina dan usia.

Namun, sesetengah pengguna media sosial kini mengambil lebih 50 gram sehari iaitu jumlah yang dianggap berlebihan.

Menurut pakar diet di Ohio State University Wexner Medical Center, Candace Pumper, pengambilan serat secara berlebihan boleh menyebabkan gangguan sistem penghadaman seperti sembelit, kembung perut dan sakit pada abdomen.

Dalam kes jarang berlaku, ia juga boleh menyebabkan usus tersumbat.

Lebih membimbangkan, beberapa minuman dan snek tinggi serat yang kini popular — seperti soda Poppi dan Olipop mengandungi serat inulin yang berasal daripada akar chicory, bawang putih dan artichoke.

Kajian awal menunjukkan pengambilan inulin berlebihan mungkin berkait dengan risiko keradangan hati dan barah hati dalam jangka panjang.

Penyelidikan oleh Prof. Andrew Gewirtz daripada Universiti Negeri Georgia mendapati, tikus yang diberi diet mengandungi inulin mengalami kerosakan hati dan simptom kanser selepas beberapa bulan.

Kajian lanjut pada 2024 turut mencadangkan bahawa inulin berpotensi bersifat karsinogenik jika diambil secara berlebihan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram