'Jangan keluar rumah bila gaduh', suami tiru cara bapa kawal emosi ketika berdepan konflik


  • Cinta
  • Isnin, 20 Okt 2025

Suami memainkan peranan penting dalam mengawal emosi ketika berdepan dengan konflik bersama isteri. — Gambar hiasan

SETIAP pasangan suami isteri pastinya tidak lari daripada ujian atau konflik dalam hidup berkeluarga.

Namun, cara menguruskan konflik itulah yang akan menentukan kekuatan hubungan mereka.

Tidak terlepas daripada berdepan dengan situasi sama, seorang wanita tampil berkongsi pengalamannya mendirikan rumah tangga selama lebih 11 tahun.

Menerusi hantaran dimuat naik di akaun Threads @ariina.amiin baru-baru ini, suaminya memainkan peranan penting dalam mengawal diri dan emosi terutama ketika berdepan dengan konflik.

BACA LAGI: Diperli membazir, wanita tak kisah habis beribu setiap bulan, lega beli rumah usia muda, pelaburan berbaloi!

BACA LAGI: Tak boleh ulas topik sesuka hati, 'influencer' di China wajib ada sijil akademik profesional

Mengimbau kembali detik cemas sewaktu dirinya gagal mengawal emosi yang bercelaru di rumah bersama anaknya.

Situasi itu bagaimanapun tidak dipandang remeh apabila suaminya bertindak untuk pulang ke rumah dengan segera.

Tanpa perlu berdrama, sang suami sempat memesan makanan ketika dalam perjalanan pulang.

"Suami masuk sahaja anak dah terkam gembira, saya menyorok di belakang dinding dan dia terus peluk.

"Air mata terus keluar, basah lencun baju kemeja suami sambil tangan sebelah masih pegang komputer riba dan botol air.

"Dia biar saya menangis sampai lega. Anak kedua tanya kenapa saya menangis, suami cuma jawab saya sedih.

"Bila dah reda, suami ajak naik atas sambil dukung anak kedua dan sambung sesi meluah depan anak-anak," tulisnya.

Anak-anak diajar untuk melihat proses menangani konflik rumah tangga dengan penuh kasih sayang. — Gambar hiasan/AI

Katanya, anak-anak mereka diajar melihat konflik sebagai proses pembelajaran dan cara ibu bapa menanganinya dengan penuh kasih sayang.

Ariina turut berkongsi bahawa suaminya sentiasa menunjukkan teladan dengan menjaga tutur kata dan tidak pernah mengeluarkan kata-kata kesat walaupun dalam situasi tegang.

Namun, ia bukanlah satu perjalanan yang mudah.

"Suami saya nak sampai ke tahap ini selepas dah berkahwin 11 tahun banyak sangat kepahitan kami lalui untuk saya jadi lebih menjaga tutur kata bila bergaduh.

"Cara suami kawal konflik, dia tiru dan ingat pesan ayahnya.

"Jangan keluar rumah bila gaduh. Jangan tidur selagi belum selesai gaduh.

"Walaupun banyak kali gaduh dan tak selesai sebelum tidur sebab saya yang ego, tetapi dia tak pernah keluar rumah.

"Bila nak berbaik semula dia jadi tak tahu nak cakap apa sebab love language dia adalah perbuatan sebenarnya.

"Sebab dia tak mahu kalau dia pujuk atau salah cakap, lagi saya meletup. Jadi, dia kekal tenang dalam rumah," katanya.

Dengan pengalaman yang ada, wanita tersebut tidak menolak bahawa ilmu agama turut menjadi faktor utama dalam menjaga hubungan.

Katanya, menjadikan tadabbur al-Quran atau majlis ilmu sebagai aktiviti dan rujukan utama dapat membantu memperbaiki hubungan mereka.

"Semakin kami berumur, banyak dengar tadabbur al-Quran, berbincang balik sesama sendiri.

"Suami juga susah juga nak faham saya, ada masa dia lemah. Tetapi ALLAH selamatkan kami, melalui perbincangan telus, kami berkomunikasi untuk luahkan perasaan masing-masing.

"Dia memang sentiasa ada fikiran untuk perbaiki, bentuk semula dan jadikan sesuatu perkara lebih baik," jelasnya.

Kisahnya sekali gus menjadi pengajaran dan teladan buat pasangan suami isteri terutama yang baru menjejakkan kaki ke alam perkahwinan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram